KUANTAN, 22 JULAI 2025 : Orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka yang boleh memburukkan lagi kualiti udara di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, perbuatan membuang puntung rokok merata-rata boleh mencetuskan kebakaran kecil yang menjejaskan kualiti udara.
“Kadangkala kita dapati pembakaran berlaku tanpa kawalan termasuk pembuangan puntung rokok merata-rata, akhirnya menyebabkan kebakaran. Ada juga yang bakar sampah tanpa kawalan sehingga tercetus kebakaran hutan atau belukar dan perkara ini berlaku hampir setiap tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Ramah Mesra bersama kepimpinan Seri Mahkota dan penyampaian sumbangan di pekarangan Surau Padang Garuda di sini semalam.
Beliau turut menegaskan, semua pihak perlu berdisiplin dan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa bagi memastikan kualiti udara kekal pada tahap baik.
Beliau berkata, tindakan saman atau denda boleh dikenakan terhadap individu yang melakukan pembakaran terbuka mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
“Setakat ini, pihak JAS boleh mengenakan denda jika kesalahan pembakaran terbuka dilakukan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan tiada keperluan untuk menutup sesi persekolahan meskipun bacaan IPU menunjukkan peningkatan ketika ini.
Katanya, pengoperasian sekolah hanya akan dihentikan sementara jika bacaan IPU melebihi paras kritikal 200.
“Pada pengetahuan saya, apabila indeks pencemaran melebihi 200, barulah sekolah akan dihentikan operasinya buat sementara waktu. Selagi belum mencapai tahap berbahaya, sekolah akan berjalan seperti biasa,” jelasnya. – PAHANGMEDIA

