Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 21 JULAI 2025 : Lima atlet Hoki Lelaki Negeri Pahang serta jurulatih yang telah berjaya mengharumkan nama negara dan negeri dalam Kejohanan Bawah 18 Tahun Piala Asia 2025 di Dazhou, China, baru-baru ini menerima sumbangan daripada Kerajaan Pahang.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, mereka bersama pasukan telah berjaya membawa pulang pingat gangsa dan ini merupakan satu pencapaian yang cukup membanggakan buat negara dan Negeri Pahang.
“Lebih membanggakan, saudara Iman Faris bin Faizo telah dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Kejohanan, membuktikan kualiti dan bakat anak Pahang di pentas Asia.

“Justeru itu, sebagai tanda penghargaan, Kerajaan Pahang menyumbang RM1,000 seorang kepada setiap atlet dan jurulatih, manakala Iman Faris menerima tambahan RM1,000 atas pengiktirafan individu yang diterimanya.
“Selain itu, Kerajaan Negeri Pahang turut menyumbang RM3,000 untuk persiapan mereka sepanjang beraksi di China,” katanya ketika ditemui di Majlis Penyerahan Insentif Kecemerlangan SPM 2024 dan Insentif Khas Pasukan Hoki Lelaki bawah 18 di Sri Manja Boutique Hotel, hari ini.
Beliau turut berterima kasih kepada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail atas sumbangan ini.
“Kejayaan ini adalah bukti bahawa komitmen, disiplin dan semangat juang tinggi mampu mengangkat martabat sukan hoki di peringkat antarabangsa,” katanya. -PAHANGMEDIA

