Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 21 JULAI 2025 : Kerajaan Pahang terus mengiktiraf pencapaian atlet negeri ini apabila seramai 66 atlet yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 menerima insentif kecemerlangan hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, seramai 66 daripada 91 atlet telah berjaya memperoleh sekurang-kurangnya satu gred A dalam SPM yang lepas.

“Untuk kecemerlangan SPM, daripada 91 atlet, 66 atlet kita memperolehi sekurang-kurangnya 1A dalam SPM. Mereka yang memperolehi sekurang-kurangnya 1A ini, kita beri RM200 dan A yang berikutnya adalah tambahan RM100,” katanya.
Menurut beliau, tahap kecemerlangan atlet dalam peperiksaan tersebut pada tahun lepas juga menunjukkan peningkatan memberangsangkan berbanding tahun sebelumnya.

“Saya gembira sebab lebih ramai atlet cemerlang kali ini berbanding dengan sebelumnya. Jumlah yang cukup besar ini membuktikan bahawa mereka boleh berjaya dalam bidang akademik dan sukan secara serentak, andai ada kesungguhan dan kegigihan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Penyerahan Insentif Kecemerlangan SPM 2024 dan Insentif Khas Pasukan Hoki Lelaki (Men’s Junior U-18 Asia Cup 2025) di Sri Manja Boutique Hotel, hari ini. – PAHANGMEDIA

