Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 18 JULAI 2025 : Kerajaan Negeri Pahang terus komited dalam memperkukuh dasar kependudukan melalui pelbagai inisiatif menyokong kesejahteraan keluarga dan pembangunan generasi muda, khususnya Generasi Alpha.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan, semua pihak perlu berganding bahu dalam membentuk Generasi Alpha yang celik teknologi, berakhlak dan berpaksikan nilai kekeluargaan.
“Saya ingin menyeru semua pihak sama ada di sektor kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan, institusi pendidikan mahupun komuniti setempat untuk berganding bahu dalam usaha membangunkan generasi akan datang, khususnya Generasi Alpha, yang merupakan harapan masa depan negeri dan negara.

“Tanggungjawab ini tidak boleh diletakkan di bahu satu pihak sahaja, sebaliknya memerlukan kolaborasi bersepadu yang bersifat menyeluruh dan berterusan,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Negeri Pahang juga telah melaksanakan pelbagai usaha bagi menangani cabaran seperti penurunan kadar kelahiran, kesihatan mental remaja serta tekanan keluarga muda.
“Kerajaan Negeri sentiasa memberikan penekanan kepada kepentingan kesejahteraan sosial melalui pemerkasaan institusi keluarga.

“Kerajaan Negeri turut menzahirkan komitmen dalam menyokong institusi kekeluargaan melalui bantuan Inisiatif Makmur Pahang Siswa, yang menyediakan sokongan kewangan kepada anak-anak Pahang yang melanjutkan pengajian di peringkat diploma, ijazah dan pascasiswazah.
“Selain itu, Insentif Pasangan Pengantin diberikan kepada pasangan muda bagi menggalakkan perkahwinan yang sah, sejahtera dan bersedia membina keluarga yang stabil dan berdaya tahan dalam jangka masa panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Seminar Kependudukan Negeri Pahang di Auditorium Tuanku Canselor, Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS). -PAHANGMEDIA

