Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 18 JULAI 2025 : Dua keluarga penuntut Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) yang terlibat dalam kemalangan maut baru-baru ini menerima bantuan segera daripada Kerajaan Pahang.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan, pihak JKM Negeri Pahang juga akan mengenal pasti keperluan sokongan kaunseling kepada keluarga mangsa.
“Kita bagi sumbangan segera dari pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jawatankuasa Kebajikan. Nanti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan buat siasatan, tapi kalau ada keperluan untuk kaunseling insyaAllah,” katanya.

Sementara itu, menurut Puan Intan Syafiza Abdul Jalil, 33, kakak sulung kepada Allahyarham Muhammad Zuhair Rifai Abdul Jalil, keluarganya bercadang untuk menggunakan sumbangan yang diterima untuk menunaikan badal haji bagi arwah.
“Alhamdulillah, kita terima dengan reda pemergian dia (Allahyarham Muhammad Zuhair Rifai). Dia pun anak yang baik. Tak susahkan siapa-siapa. Kami sekeluarga reda dengan pemergian dia dan kami bercadang gunakan sumbangan untuk buat badal haji arwah,” katanya.
Puan Intan Syafiza turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan, bantuan dan sumbangan, dan melahirkan rasa syukur atas keprihatinan semua pihak.
“Alhamdulillah terima kasih kepada semua yang bagi sokongan, kepada pihak-pihak yang bagi bantuan dan sumbangan, terima kasih dan kami merasa sangat bersyukur,” katanya. -PAHANGMEDIA

