Oleh : Norhafizan Zulkifli & Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 16 JULAI 2025 : Sekretariat Mahasiswa Anak Pahang yang mewakili YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, telah menyampaikan sumbangan kepada dua keluarga penuntut Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) yang terlibat dalam nahas jalan raya di persimpangan lampu isyarat berhampiran SMK Paya Besar, Jalan Gambang, semalam.
Sumbangan kewangan berjumlah RM1,000 daripada YAB Menteri Besar dan RM500 daripada Sekretariat Mahasiswa Anak Pahang telah disampaikan oleh Pengarah Sekretariat Mahasiswa Anak Pahang, YH Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin, ketika berkunjung ke kediaman kedua-dua keluarga terbabit di Perumahan Sri Damai dan Perumahan Kompleks LKPP Lepar, di sini, hari ini.
YH Dato’ Sri Hajah Shahaniza berkata, sumbangan itu adalah tanda keprihatinan YAB Menteri Besar dan pihak sekretariat terhadap keluarga mangsa.

“Hari ini saya mewakili YAB Menteri Besar daripada Sekretariat Mahasiswa Anak Pahang. YAB Menteri Besar memberi sumbangan sebanyak RM1,000 dan daripada pihak sekretariat sebanyak RM500.
“Selain itu, saya juga difahamkan pihak UniPSAS sedang menguruskan pinjaman PTPTN untuk dihapus kira dan ada juga khairat kematian dan ada insuran kedua-dua mangsa,” katanya.
Dalam kejadian tersebut, Allahyarham Muhammad Zuhair Rifqi Abdul Jalil, 21, pelajar Diploma Pengajian Quran dan Sunnah, maut di lokasi kejadian, manakala rakannya, Allahyarham Muhammad Firdaus Mohammad Zamri, 22, pelajar Ijazah Sarjana Muda Syariah Dengan Pentadbiran Kehakiman (Kepujian), meninggal dunia ketika menerima rawatan di Zon Merah, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.
Tambahnya lagi, kunjungan tersebut bukan sahaja bertujuan menyampaikan salam takziah daripada YAB Menteri Besar, malah pihak sekretariat turut bersedia menghulurkan bantuan sekiranya terdapat keperluan lanjut daripada pihak keluarga.

“Dari pihak universiti, memang kedua-dua arwah, pinjaman PTPTN mereka akan dihapus kira. Jadi tidak ada terbeban lagi kepada keluarga selain menerima khairat kematian dan insuran.
“Kita juga beritahu pihak keluarga, jika ada apa-apa, maklumkan kepada kita. Tapi setakat ini tidak ada apa-apa masalah. Sekiranya ada perkara berbangkit atau keperluan tambahan, pihak kami bersedia membantu sebaik mungkin,” katanya yang turut memaklumkan bahawa kedua-dua Allahyarham merupakan pelajar tahun akhir di UniPSAS.
Turut hadir dalam kunjungan tersebut ialah wakil Pejabat Menteri Besar, Encik Wan Emril Nizam Wan Embong, serta wakil daripada UniPSAS. -PAHANGMEDIA

