Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 09 JULAI 2025 : Kerajaan Negeri Pahang hari ini menyalurkan bantuan berjumlah RM 548,590 kepada 29 penerima sempena Majlis Penyerahan Cek Sumbangan Kerajaan Negeri Pahang yang berlangsung di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS), Kuantan.
Menurut YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, sumbangan ini dapat diberikan memandangkan Kerajaan Negeri berada dalam keadaan yang stabil dan kewangan yang diurus dengan baik.
“Ini semua berlaku bukan secara tiba-tiba. Ia berlaku kerana Kerajaan Negeri berada dalam keadaan yang stabil dan kita uruskan kewangan kita dengan sempurna dan teratur.
“Kita bersyukur mendapat seorang Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Haji Fadzilla Salleh (YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang) yang prihatin, komited dan dapat menjalankan tugasnya dengan baik, terutama sekali untuk menjaga kewangan negeri dan juga mendapatkan hasil untuk Kerajaan Negeri,” katanya.
Dalam pada itu, YAB. Menteri Besar Pahang turut menyeru rakyat negeri ini untuk membantu Kerajaan Negeri dalam mengekalkan kestabilan dan kemakumuran di Negeri Pahang bagi memastikan bantuan seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan. -PAHANGMEDIA

