Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 09 JULAI 2025 : Sebanyak 37 cawangan Tadika Tahfiz Negeri Pahang (TTNP) telah berjaya dibina dan beroperasi di seluruh negeri ini dengan kapasiti seramai 1,180 pelajar.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, Kerajaan Negeri juga bercadang membina lapan lagi TTNP pada hujung tahun ini.
“Setakat ini, seperti yang diumumkan oleh YAB MB Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail, agar Kerajaan Negeri dapat membina di setiap DUN di negeri Pahang cawangan-cawangannya.
“Sebanyak 37 cawangan telah berjaya dibina dan beroperasi di seluruh Pahang. Ia juga telah mampu menerima 1,180 orang anak-anak mendaftar dan menjadi pelajar di tadika berkenaan secara aktif. Tadika ini memiliki keupayaan guru serta kakitangan seramai 175 orang di 37 cawangan di seluruh Pahang mengikut DUN.
“Manakala di Kuantan, terdapat sembilan buah cawangan. Dijangka pada akhir 2025, sebanyak lapan cawangan lagi akan dibangunkan bagi memenuhi kuota seperti yang dijanjikan oleh YAB Menteri Besar Pahang. Kerajaan memperuntukkan RM7.4 juta sebagai kos operasi permulaan setiap tadika tahfiz berkenaan,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Negeri juga telah memperuntukkan RM 2.52 juta bagi Bantuan Yuran Pendidikan Tadika Tahfiz Negeri Pahang pada setiap pelajar B40 sebanyak RM250 seorang bagi tahun ini.
“Selain dari syaratnya B40, mereka mestilah warganegara Malaysia dan dilahirkan di negeri Pahang, berumur 4 hingga 6 tahun dengan hanya memohon melalui Sistem Maklumat Pelajar (SMAP) TTNP. Tempoh bantuan hanya tertakluk kepada tempoh pengajian dari Januari sehingga Disember 2025.

“Kesungguhan Kerajaan Negeri dalam merealisasikan pendidikan tahfiz di negeri Pahang tidak terhenti dengan hanya membina prasarana, tetapi YAB MB Pahang dalam pengumuman beliau, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM 2.52 juta sebagai peruntukan yang disediakan untuk anak-anak B40 menerima bantuan daripada Kerajaan Negeri bagi bayaran yuran belajar di tadika tahfiz berkenaan.
“Ini bukan sahaja mampu meringankan beban keluarga tetapi juga bukti jelas kesungguhan kerajaan negeri memberi ruang kepada seluruh rakyat pahang untuk mendapat pendidikan ini,” katanya.
Tambah beliau, usaha menaiktaraf dan memperkasakan pendidikan tahfiz di negeri Pahang berjalan secara berterusan dari semasa ke semasa melalui kewujudan Sekolah Rendah Tahfiz, Maahad Tahfiz, pengajian di peringkat menengah dan diploma.
“Selepas saya menghadiri mesyuarat ahli lembaga Yayasan Pahang yang dipengerusikan oleh YAB Menteri Besar Pahang, saya berpeluang mengadakan lawatan ke Tadika Tahfiz Negeri Pahang (TTNP) bagi meneliti sendiri status tadika-tadika berkenaan yang telah dibangunkan oleh Yayasan Pahang melalui pengurusan Maahad Tahfiz Kerajaan Negeri Pahang.
“Dalam lawatan berkenaan, saya dapat melihat sendiri guru-guru dan anak-anak pelajar yang berumur 4, 5, dan 6 tahun sedang dilatih menghafaz surah-surah tertentu mengikut tahap masing-masing.
“Berdasarkan kepada pemandangan yang dapat kami simpulkan, usaha ini sangat positif dan mampu memberi kesan yang baik serta ruang untuk menggapai hasrat Kerajaan Negeri menzahirkan jumlah huffaz yang profesional atau faqih semenjak awal lagi tercapai,” katanya.
Beliau turut melahirkan keyakinan usaha ini akan disambut baik oleh masyarakat dan bakal merealisasikan sikap kebaikan mampu mencegah kemungkaran walaupun perkara ini memerlukan sedikit masa untuk dapat dilihat. -PAHANGMEDIA

