Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 07 JULAI 2025 : Dua penjawat awam Pahang yang menyertai Kursus Asas Perajurit Muda Sukarela (APMS) Siri 2/2025 Rejimen 505 Askar Wataniah telah membuktikan kecemerlangan mereka dalam kepimpinan dan akademik.
Kedua-dua mereka adalah Encik Muhaimin Mustaqim Jamaludin, 33, yang merupakan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) yang bertugas sebagai Penolong Setiausaha Kanan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang, dan Encik Mohd Faizul Sidiq Abd Majid, 32, iaitu Penolong Jurutera Awam di Politeknik Muadzam Shah.
Mereka merupakan antara 70 penuntut yang berjaya menamatkan kursus selama sebulan bermula pada 9 Jun lalu dengan Majlis Perbarisan Penutup kursus tersebut telah diadakan di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) yang dilaksanakan oleh Timbalan Komander Rejimen 505 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Ahmad Zakhuan Yahya.
Dalam kursus tersebut Encik Muhaimin Mustaqim telah diberi kepercayaan untuk mengetuai perbarisan penutup sebagai Yang Dipertua (YDP) kursus, manakala Encik Faizul Sidiq pula telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Akademik Terbaik.

Menurut Encik Muhaimin Mustaqim, penglibatan penjawat awam dalam badan beruniform seperti Askar Wataniah ini dilihat mampu membentuk peribadi yang berdisiplin dan tahan lasak.
“Askar Wataniah bukan sekadar latihan ketenteraan, tetapi satu platform pembangunan sahsiah dan kepimpinan yang boleh membentuk penjawat awam yang berprestasi tinggi,” katanya.
Sementara itu menurut Encik Faizul Sidiq pula, penyertaan penjawat awam dalam pasukan simpanan ini dapat memperkukuhkan kepelbagaian kepakaran dalam rejimen selain memperluas dimensi kerjasama antara agensi awam dan ketenteraan.
“Penjawat awam membawa kepakaran teknikal dan pentadbiran yang boleh menyumbang secara langsung kepada operasi rejimen. Ini adalah sinergi dua hala yang sangat bermanfaat,” katanya.

Lebih membanggakan, bukan sahaja cemerlang dalam kepimpinan dan akademik, malah kedua-dua mereka turut meraih anugerah Johan dan Naib Johan dalam pertandingan menembak menggunakan senjata M16.
Sepanjang kursus tersebut, mereka didedahkan dengan pelbagai latihan ketenteraan termasuk ujian kecergasan, ujian pandu arah, ujian jalan laju, kawad kaki, kawad senjata, latihan menembak, ilmu medan perang, serta pendedahan tentang kerjaya dalam Tentera Darat.
Kejayaan kedua-dua peserta ini juga menjadi bukti bahawa kerjaya mereka dalam sektor awam tidak menjadi penghalang untuk terlibat aktif dalam menjadi pertahanan negara, malah membuka lebih ruang untuk membina jati diri yang lebih kukuh demi kemakmuran tanah air.
Penyertaan mereka ini juga secara tidak langsung telah memberi inspirasi kepada penjawat awam yang lain untuk menjadi sebahagian daripada khidmat kepada negara dengan menyertai Askar Wataniah. -PAHANGMEDIA

