Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 27 MEI 2025 : Sebanyak 289 premis di negeri ini dikenalpasti sebagai Premis Ditetapkan yang diwajibkan dalam Perakuan Bomba Akta 341 bagi peraturan keselamatan
kebakaran.
Menurut YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar, pelaksanaan inisiatif ini dilihat dapat membantu mengurangkan risiko kemalangan jiwa dan kerugian harta benda.
“Saya dimaklumkan bahawa pindaan Akta 341 telah dipinda beberapa kali iaitu pada tahun 1998, 2001 dan 2018. Pindaan terbaharu pada tahun 2018 telah memperkenalkan peruntukan baharu yang sangat penting, khususnya penubuhan Organisasi Keselamatan Kebakaran (OKK). Pindaan ini termaktub dalam Seksyen 27A yang mewajibkan setiap pemilik atau penghuni premis yang ditetapkan untuk menubuhkan OKK.

“Susulan pindaan ini, JBPM telah mengeluarkan Perintah Tetap Ketua Pengarah dan Garis Panduan Baharu yang merangkumi pelaksanaan Perakuan Bomba, bentuk dan tatacara laporan keselamatan, serta pelan tindakan kecemasan.
“Keseluruhan pendekatan baharu ini menyusun semula tanggungjawab kepada pemilik dan pengurusan premis, manakala JBPM memainkan peranan pemantauan dan penguatkuasaan. Inilah anjakan yang strategik dalam pengurusan risiko kebakaran di negara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Seminar Organisasi Keselamatan Kebakaran Negeri Pahang 2025 di Hotel Zenith.
Turut hadir, Pengarah JBPM Negeri Pahang, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Mohd Razam Taja Rahim.

Beliau berkata Kerajaan Negeri Pahang akan terus memberi sokongan penuh terhadap segala usaha pihak JBPM dalam meningkatkan tahap keselamatan kebakaran di negeri ini.
“Kita percaya, segala perubahan ini akan membawa kepada pengurusan keselamatan yang lebih sistematik dan profesional.
“Namun begitu, kejayaan pelaksanaan inisiatif ini memerlukan kerjasama erat semua pihak dari sektor awam, swasta hingga komuniti setempat. Hanya dengan kerjasama menyeluruh, barulah kita dapat melindungi nyawa, harta dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Menurut Perakuan Bomba Akta 341, sebarang kegagalan mematuhi peruntukan ini boleh dikenakan tindakan undang-undang, termasuk denda sehingga RM50,000 atau penjara
hingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali. -PAHANGMEDIA

