Oleh : Ain Nadhirah Basha & Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 28 MEI 2025 : Kerajaan Negeri Pahang akan meneruskan sokongan kepada para peserta Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) di negeri ini melalui pelbagai bentuk bantuan keusahawanan yang ada.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam, bantuan ini bagi membuka lebih banyak peluang kepada para usahawan untuk lebih maju dan berdaya saing dalam bidang yang diceburi.

“Kita harap usahawan pada hari ini akan melahirkan banyak usahawan-usahawan yang berdaya saing, berdaya mampu pada masa akan datang. Itu antara hajat dan juga hasrat Kerajaan Negeri dan juga SME Corp.
“Kerajaan Negeri juga komited untuk melahirkan usahawan-usahawan di negeri ini. Ini antara main objective dengan adanya jaringan bersama SME Corp, yang mana ia satu kolaborasi yang sangat baik untuk kita melahirkan usahawan-usahawan yang mampu pada masa akan datang.

“Kerajaan Negeri Pahang akan sambut 55 orang usahawan Negeri Pahang untuk membantu kesinambungannya. Contohnya mereka dah dapat geran RM15,000, Kerajaan Negeri akan bantu usahawan belia ini dengan ambil alih pula,” katanya.
Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, YBhg. Encik Rizal Dato’ Nainy, jumlah peserta TUBE dari tiga negeri di Zon Timur mencatatkan jumlah penyertaan tertinggi seramai hampir 2,200 peserta setakat ini.
“Pahang, Terengganu, dan Kelantan merupakan satu zon yang tertinggi (penyertaan), daripada 8,600 lebih (keseluruhan peserta), 2,000 daripadanya termasuk hari ni lebih kurang 2,200 (peserta) adalah daripada Zon Timur.

“Dan kita harap usahawan dari Zon Timur, belia bumiputera ini dapat berjaya ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Program berbentuk latihan asas keusahawanan yang bermula sejak 2004 ini dilaksanakan melalui dua fasa iaitu bengkel perniagaan selama lapan hari yang berakhir hari ini, turut disusuli Bimbingan Perniagaan dan Pemantauan dalam fasa seterusnya di mana semua 118 peserta bagi TUBE 11 diberikan geran permulaan perniagaan sebanyak RM15,000 setiap seorang.
Program TUBE yang memasuki fasa kesebelas kali ini telah menyalurkan geran perniagaan berjumlah RM125.84 juta dan melatih seramai 8,653 belia di mana sebanyak 8,312 belia telah berjaya mendaftarkan perniagaan yang mencatatkan nilai jualan terkumpul berjumlah RM207.22 juta dan mewujudkan 16,690 peluang pekerjaan. -PAHANGMEDIA

