Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 27 MEI 2025 : Sebanyak tujuh kilang sawmill diserbu di negeri ini dalam Operasi Bersepadu Khazanah (Op Sawmill) Bil. 3/2025 yang dilaksanakan serentak di tiga negeri iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Dato’ Sri Azmi Abu Kassim berkata, tujuh kilang yang terdapat di negeri ini itu adalah antara 14 kilang yang diserbu dalam operasi yang dijalankan serentak di tiga negeri terbabit pada 20 Mei lalu.
Katanya, hasil serbuan di 14 kilang berkenaan, pihaknya berjaya merampas kayu hutan dan pelbagai peralatan bernilai lebih RM30.8 juta serta menahan 45 individu atas pelbagai kesalahan.
Daripada RM30.8 juta nilai rampasan berkenaan, sebanyak RM11,313,320 merupakan hasil khazanah berupa kayu hutan pelbagai jenis dan saiz.

Tambahnya, tangkapan berkenaan adalah hasil pemeriksaan ke atas 232 individu dan daripada 45 yang ditahan, 18 merupakan warganegara Malaysia, enam warga Myanmar, tujuh warga Bangladesh, 12 warga Indonesia, seorang masing-masing warga Nepal dan India berusia antara 18 hingga 80 tahun.
“Kesemuanya masih dalam siasatan tetapi daripada 45 tangkapan itu, 18 telah pun kita bebas dengan jamin sementara 27 lagi masih kita reman. Status barang kes pula masih dalam siasatan pihak Jabatan Perhutananan.
“Yang kita masih reman ini, mereka adalah warga asing. Yang warganegara kita, kita dah bebaskan dengan jamin,” katanya dalam satu sidang media yang diadakan di Kem Bukit Galing, di sini hari ini.
Hadir sama, Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Tuan Abd Ramlizauyahhudin Mahli.

Tambahnya, antara kesalahan yang disiasat termasuklah kesalahan masuk dan tinggal di Malaysia tanpa dokumen sah (Akta Imigresen 1959/63); menggaji pendatang tanpa izin; tidak memiliki lesen sah operasi kayu (Akta Perhutanan dan Enakmen Industri Berasaskan Kayu); gagal mematuhi standard penginapan pekerja (Akta 446); dan memiliki daun ketum, dadah dan senjata berbahaya.
Dalam pada itu katanya, operasi bersepadu berkenaan diketuai oleh Ibu Pejabat Pasukan Gerakan Am (PGA) Bukit Aman bersama Briged Tenggara PGA dengan kerjasama Jabatan Perhutanan, Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Kementerian Kesihatan Malaysia dengan seramai 295 pegawai dan anggota pelbagai agensi telah terlibat dalam operasi terbabit.
“Ada tujuh agensi berbeza yang terlibat dan ini merupakan salah satu pendekatan yang kita ambil untuk kita memberikan pulangan yang besar kepada kerajaan. Tujuh agensi ini kita harap kita dapat memaksimakan tindakan yang kita ambil ke atas pengusaha-pengusaha yang melanggar syarat, yang tidak memiliki lesen, dan melaksanakan kerja-kerja yang menyalahi peraturan dan undang-undang ini, kita dapat memaksimakan tidakana terhadap mereka,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

