Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 27 MEI 2025 : Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Pahang memaklumkan insiden pertelingkahan antara sekumpulan penduduk Orang Asli Kampung Arong di Pekan dengan anggota polis yang tular semalam telah diselesaikan sepenuhnya.
Pengarah JAKOA Pahang, Encik Adam Zaidi Mahidin berkata, kejadian tersebut berlaku berikutan penduduk orang asli Kampung Arong tidak diberikan penjelasan tentang keluasan sebenar tanah pajakan diberikan Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) Pahang kepada syarikat terlibat.
“Tanah yang dipertikaikan merupakan tanah rizab Melayu yang dahulunya adalah kawasan asal penempatan Kampung Arong sebelum penduduk dipindahkan ke penempatan baharu. Di kawasan tersebut masih terdapat tanaman milik Orang Asli dan juga tanah perkuburan lama.
“Pajakan tanah telah diberikan kepada syarikat terbabit bagi tujuan pembangunan dan terdapat perjanjian yang menjanjikan pulangan ekonomi serta peluang pekerjaan kepada komuniti Orang Asli.
“Namun, penduduk tidak dimaklumkan secara jelas. Saya dimaklumkkan sebanyak 100 ekar digunakan untuk fasa pertama dan bakal berlaku pajakan lagi 400 ekor termasuk untuk fasa kedua iaitu pembinaan kuaters pekerja,” katanya.
Tambah beliau, konflik timbul apabila pihak syarikat mengunakan pihak polis untuk kerja-kerja fasa kedua yang memasuki kawasan tanaman Orang Asli tanpa menggunakan agensi berkaitan seperti pejabat tanah dan Unit Penguatkuasa Negeri Pahang (UPNP).
“Malangnya, pihak syarikat memilih untuk melibatkan pihak polis bagi menguruskan perbincangan dengan penduduk, dan bukan melalui saluran yang sepatutnya. Ini menyebabkan berlaku salah faham dan pertelingkahan.
“Orang Asli sebenarnya baik sahaja dan terbuka untuk berbincang secara baik. Namun, tindakan syarikat mendapatkan campur tangan polis telah mencetuskan suasana tegang. Pihak JAKOA telah menasihati syarikat terbabit agar berurusan dengan TSK dan kerajaan negeri dengan menggunakan cara yang lebih tepat,” jelasnya.
Beliau juga memaklumkan telah menasihatkan individu yang menyebarkan video insiden pergaduhan berkenaan agar menurunkan dan memadam video berkenaan.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Pekan, Deputi Superintendan Tuan Mohd Zaidi Mat Zin memaklumkan bahawa insiden pergaduhan mulut antara anggota polis dan penduduk Orang Asli Kampung Arong yang tular semalam telah diselesaikan secara damai.
“Penduduk terbabit telah datang ke Balai Polis Paloh Hinai semalam dan memohon maaf atas insiden yang berlaku. Tiada siasatan lanjut dibuka kerana ia hanya melibatkan salah faham.
“Kehadiran anggota kami ke kampung itu adalah bagi menasihatkan penduduk agar tidak menghalang kerja pengukuran tanah bagi pembinaan kilang kertas oleh syarikat Next Green, namun situasi menjadi tegang apabila berlaku provokasi dan kata-kata kurang sopan daripada segelintir penduduk,” katanya.
Semalam, tular satu rakaman video berdurasi 5 minit 17 saat di media sosial memaparkan kekecohan antara penduduk Orang Asli Kampung Arong, Pekan, dengan anggota polis. Video yang dimuat naik seorang pengguna Facebook telah meraih lebih 551 tanda suka dan 120 perkongsian setakat ini. -PAHANGMEDIA

