Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
BENTONG, 26 MEI 2025 : Kerajaan Negeri Pahang secara rasmi telah bersetuju untuk menyertai Person Acting in Concert (PACs) bersama FELDA dalam usaha penswastaan FGV Holding Berhad (FGV) melalui sokongan 5 peratus sahamnya.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata kerjasama strategik ini selaras dengan usaha bagi memperkukuhkan penguasaan FELDA ke atas FGV.
“Jadi untuk membolehkan FELDA, FGV ini, Kerajaan Negeri kena ada consent sebagai PAC untuk membolehkan mereka bergerak ke hadapan. Kalau sekiranya tidak ada persetujuan dari Kerajaan Negeri agak sukar sedikit.
“Maknanya sekarang ini FGV ni, kalau berbanding dengan dulu, dividen, koperasi ini rendah. Jadi dengan adanya perubahan seperti ini , mungkin akan meningkatkan pendapatan atau dividen mereka lebih tinggi. Ada usaha-usaha yang lebih baik. Kalau tidak dia stagnant, dia tepu, terperangkap dekat situ sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra Felda Bersama YAB Menteri Besar Pahang di Geo Resort & Hotel, Genting Highlands.
Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Haji Fadzilla Salleh; YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, YBhg. Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir Razali Kassim; dan Pengerusi Felda, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek.
Sementara itu menurut Dato’ Sri Ahmad Shabery, sokongan 5 peratus saham daripada Kerajaan Negeri Pahang ini secara tidak langsung dapat mempercepatkan proses penswastaan syarikat perladangan ini.
“Syarikat itu mesti ada 90 peratus. Jadi kita memerlukan sokongan daripada pemilik-pemilik saham yang lain. Sekarang ini Felda ada 82 peratus. Pemilik saham lain yang terbesar ialah Pahang. Bunyinya 5 peratus tetapi tanpa 5 peratus dia tak boleh sampai 90 peratus yang disyaratkan oleh Bursa.
“Jadi bila Pahang bersama dengan Felda, dia sudah menjadi sekarang ini lebih daripada 87 peratus. Artinya proses nak dapat 90 peratus itu semakin hampir. Tetapi dalam masa yang sama, perjanjian Person Acting in Concert ini, iaitu kerjasama ini, menjadikan hubungan Pahang dan Felda, pemilik Felda itu menjadi satu hubungan yang akrab, penting, banyak keputusan-keputusan mesti dilihat secara bersama.
“Ini yang penting. Pahang dilihat secara bersama dalam soal ini. Banyak pandangan-pandangan Pahang mesti dengar. Kepentingan-kepentingan Pahang mesti diambil kira dalam soal ini. Ini signifikan apa yang berlaku sekarang,” katanya.
Kerajaan Negeri Pahang diwakili YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar telah menukar perjanjian sokongan berkenaan bersama Pengarah Besar Felda, YBhg. Dato’ Dr. Suzana Idayu Wati Osman dalam majlis berkenaan. -PAHANGMEDIA

