Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 19 MEI 2025 : Kerajaan Negeri Pahang memberikan tempoh sehingga 10 pagi esok kepada pemilik akaun Na’im Brundage bagi memohon maaf dan menarik semula kenyataannya yang menyebarkan fitnah berkenaan pendirian kerajaan negeri dalam menangani isu kebun haram Musang King.
Menurut Pengarah Komunikasi Strategik (UKS) Negeri Pahang, Encik Khairul Anwar Dato’ Ahmad Nadzer, video-video yang dimuatnaik oleh Na’im Brundage ini jelas berniat ingin memburukkan imej Kerajaan Negeri memandangkan pihak UKS dan Kerajaan Negeri Pahang telah mengeluarkan penjelasan berkenaan isu ini.
“Kami beri sehingga jam 10 pagi esok, 20 Mei 2025 untuk yang pertama, saudara Na’im Brundage padam dua video tersebut, dan kedua, buat permohonan maaf secara terbuka terhadap tomahan yang dilakukan ke atas Kerajaan Negeri Pahang dan YAB Menteri Besar Pahang atau kita ambil tindakan-tindakan susulan.
“Pihak Unit Komunikasi Strategik Negeri Pahang telah meneliti dua video yang dimutnaik oleh saudara Na’im Brundage yang mana content video-video itu kita lihat secara jelas memberi tomahan buruk dan fitnah terhadap Kerajaan Negeri Pahang dan ini satu perkara yang kita pandang sangat serius kerana ia betul-betul menjejaskan reputasi Kerajaan Negeri.
“Jadi jelas sebab kita dah buat penjelasan banyak kali tetapi masih lagi ada video yang macam saudara Na’im Brundage buat ini, maknanya tiada niat lain selain nak memburukkan reputasi Kerajaan Negeri, membuat fitnah, dan membuat tomahan jahat,” katanya.
Menurut beliau lagi, terdapat dua penjelasan yang telah diberikan oleh Kerajaan Negeri Pahang berkaitan isu ini iaitu berkenaan status mahkamah dan proses pemutihan yang dijalankan.
“Di pihak Unit Komunikasi Strategik, kita telah sering kali memberitahu, dan memaklumkan bahawa yang pertama kita memang sedang ambil tindakan dan kalau kita fokus terhadap isu Musang King ini, ia memang sedang dalam proses mahkamah.
“Dan tindakan atau denda atau apa sahaja hukuman terhadap penceroboh ini hanya boleh di buat selepas mahkamah membuat keputusan dan tiada lagi rayuan boleh dibuat oleh pihak yang dituduh. Jadi segalanya ada proses dan saya minta semua untuk hormati proses tersebut.
“Yang kedua dari segi pemutihan, banyak kali pihak Unit Komunikasi Strategik telah jelaskan bahawa pemutihan langsung tidak bermaksud kita beri tanah tersebut kepada peneroka haram. Maksud pemutihan adalah perlu ada jalan penyelesaian terhadap pencerobohan itu. Contohnya daripada 26,000 ekar tanah yang diceroboh, kurang lebih 11,000 ekar telah diberikan pajakan kepada Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri (PSK). Dan itu juga salah satu daripada proses pemutihan. Jadi tolong jangan memanipulasi perkataan pemutihan,” katanya.
Kerajaan Negeri Pahang telah menjalankan usaha memutihkan kawasan hutan yang diteroka secara haram di negeri ini melalui Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) yang ditubuhkan sejak 2019. -PAHANGMEDIA

