Oleh : Norhafizan Zulkifli
BERA, 19 MEI 2025 : Penantian hampir empat dekad berakhir dengan kegembiraan apabila peneroka Felda Triang 3 akhirnya menerima Suratan Hak Milik tanah masing-masing yang dinanti-nantikan sejak sekian lama.
Pasangan suami isteri peneroka, Puan Normah Abdul Raj, 66, dan Encik Abdul Rahim Bakar, 70, yang mula menetap di tanah rancangan itu sejak tahun 1986 meluahkan rasa syukur dan terharu atas pemberian berkenaan.
“Rasa gembira, sangat gembira. Terima kasih Kerajaan Negeri dan pihak FELDA. Masa mula datang FELDA memang susah. Masa itu mak cik datang bawa anak seramai lima orang,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Suratan Hak Milik dan Dimensi Mini Karnival FELDA Pahang yang diadakan di Dewan Semai Bakti FELDA Triang 3, di sini, hari ini.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail. Turut hadir, Pengerusi FELDA, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam; dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan.
Bersempena majlis berkenaan, seramai 195 peneroka FELDA Triang 3 telah menerima geran hak milik masing-masing selepas lebih 35 tahun menetap di tanah rancangan tersebut.

Sementara itu, peneroka lain, Encik Mazlan Bakri, 63, yang hadir bersama isterinya, Puan Amsah Saleh, 62, turut berkongsi rasa syukur selepas sekian lama menunggu.
“Mula memasuki FELDA Triang 3 sejak 1986. Masa itu sudah berkeluarga… anak baru dua. Sekarang anak sudah lima orang dan semuanya sudah besar.
“Masa mula datang FELDA memang susah. Pendapatan satu hari cuma RM7. Sekarang jauhlah beza daripada dahulu, sekarang ini Alhamdulillah.
“Perasaan saya memang gembiralah sebab ini yang ditunggu-tunggu hampir 40 tahun. Akhirnya hari ini dapat gerannya (Suratan Hak Milik). Terima kasih kepada pihak FELDA kerana memberi geran kepada kami,” katanya. -PAHANGMEDIA

