Oleh : Norhafizan Zulkifli
BERA, 19 MEI 2025 : Proses penyerahan Suratan Hak Milik kepada peneroka Felda di negeri ini dijangka akan mencapai penyelesaian 100 peratus tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam berkata, baki empat peratus bersamaan 1,840 daripada keseluruhan 43,126 peneroka negeri ini yang belum diselesaikan adalah berikutan beberapa masalah teknikal.
“InsyaAllah kita anggarkan (selesai) pada tahun ini (untuk) yang tidak melibatkan masalah teknikal terlalu berat contohnya ROH (pendaftaran hak milik).
“Maksudnya kalau isterinya meninggal, dia (peneroka) kena masuk (melalui proses) mahkamah. Apabila masuk kes mahkamah, akan berlaku sedikit kelewatan,” katanya kepada media selepas Majlis Penyerahan Suratan Hak Milik dan Dimensi Mini Karnival FELDA Pahang 2025 yang diadakan di Dewan Semai Bakti FELDA Triang 3, di sini, hari ini.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail. Turut hadir, Pengerusi FELDA, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan.
Bersempena majlis berkenaan, seramai 195 peneroka FELDA Triang 3 telah menerima geran hak milik masing-masing selepas lebih 35 tahun menetap di tanah rancangan tersebut.
Mengulas lanjut, Dato’ Amizar berkata inisiatif penyelesaian pemberian hak milik tanah ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri dalam mempercepatkan proses pemilikan tanah oleh peneroka.
“Ini antara salah satu inisiatif kerajaan negeri Pahang untuk kita mempercepatkan proses-proses melibatkan tanah terutama kepada peneroka yang diberikan hak milik.
“Dan masalah ini InsyaAllah kerangkanya… perancangan kami untuk tahun ini kita selesaikan untuk kita dapat memberikan suratan hak milik ini kepada peneroka,” ujarnya.
Tambah beliau, kebanyakan baki yang masih belum selesai itu melibatkan Wilayah Felda Kuantan yang menyumbang kira-kira 60 hingga 70 peratus daripada jumlah keseluruhan yang belum menerima geran.
“Geran ini, kita bukan sekadar membuat esei, ia akan melibat perundangan-perundangan jangka masa panjang,” katanya. -PAHANGMEDIA

