Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
BERA, 19 MEI 2025 : Seramai 195 peneroka FELDA Triang 3 hari ini menerima Suratan Hak Milik bagi tapak kediaman dan tanah pertanian masing-masing bersempena Majlis Penyerahan Suratan Hak Milik dan Dimensi Mini Karnival FELDA Pahang 2025 yang berlangsung di Dewan Semai Bakti FELDA Triang 3, di sini.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail dalam ucapannya memaklumkan bahawa sehingga kini, seramai 41,286 daripada 43,126 peneroka FELDA di negeri ini telah menerima Suratan Hak Milik masing-masing, iaitu bersamaan hampir 96 peratus.

“Macam pemberian surat hak milik ini, memang kita nak bagi, pengerusi (FELDA) juga berhasrat nak bagi 100 peratus kepada semua peneroka FELDA yang ada seramai lebih 41,000… kalau boleh kita nak bagi dalam masa yang terdekat.
“Daripada jumlah keseluruhan, 96 peratus telah kita bagi, ada sedikit lagi baki itu kita akan uruskan dalam masa terdekat.
“Yang terlewat itu (kerana) ada masalah teknikal… masalah warislah, masalah itulah dan sebagainya,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa Kerajaan Negeri kini sedang berusaha untuk memperluas manfaat kepada generasi baharu FELDA melalui Skim Tanah Rakyat FELDA Pahang (STRFP) yang telah menawarkan sebanyak 16,035 lot bagi fasa pertama.

“Ini bagi generasi kedua. Untuk ini, pilih betul-betul. Bagi keutamaan kepada mereka yang mengenang budi. Jangan sampai bila dah dapat tanah esok, kita pula dibuat tidak peduli. Kita nak mereka yang betul-betul memerlukan dan mengenang budi,” katanya lagi.
Turut hadir, Pengerusi FELDA, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam; serta Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan.
Pada majlis sama, YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy turut mengumumkan kelulusan peruntukan sebanyak RM300,000 bagi pembinaan menara dan pembaikan kubah masjid FELDA Triang 3 serta RM100,000 bagi pemasangan pendingin hawa di Dewan Semai Bakti FELDA Triang 3. -PAHANGMEDIA

