Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 18 MEI 2025: Semangat kesukarelawanan dan kepimpinan yang tinggi ditonjolkan dua penerima Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Peringkat Negeri Pahang 2025 apabila masing-masing sepakat menyalurkan semula sebahagian hadiah wang tunai RM10,000 yang dimenangi untuk manfaat pembangunan komuniti belia di negeri ini.
Johan kategori lelaki, Mohamad Haikal Zakaria, 29, dan johan kategori wanita, Nur Azreena Faizan, 26, menjadikan kemenangan yang diraih sebagai satu bentuk tanggungjawab untuk memperkasakan lagi belia dengan penganjuran pelbagai program berbentuk pembangunan diri, kebajikan serta inisiatif sosial.

Mohamad Haikal yang juga Pegawai Media Komunikasi Parlimen Maran berkata, kemenangan tersebut bukan sekadar gelaran semata-mata, sebaliknya satu peluang untuk memberi semula kepada golongan belia yang menjadi tulang belakang kepada kejayaannya.
“Saya sudah fikir sebahagian daripada wang itu saya akan kembalikan kepada Majlis Belia Daerah Maran. Saya baharu sahaja mendapat mandat mempengerusikan Majlis Belia Daerah Maran dan saya tahu mana-mana organisasi belia dan sebagainya memerlukan dana unttuk bergerak.
“Jadi saya ingat ia akan menjadi sumbangan kecil sebab apa yang saya dapat ini pun hasil dari belia dan saya perlu kembalikan semula sebahagian daripada duit kemenangan ini kepada belia itu sendiri,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pengurniaan Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Peringkat Negeri Pahang 2025 bersempena Festival Belia Pahang yang diadakan di Wisma Belia, di sini, hari ini.
Majlis berkenaan telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal, yang mewakili Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Majlis turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang, Encik Nor Azli Mohamad Daud.
Bercerita lanjut, Mohamad Haikal yang berasal dari Kampung Chenor, Maran memulakan penglibatan dalam bidang belia semasa menuntut dalam bidang Sarjana Muda Pembedahan Pergigian di Chennai, India, menerusi aktiviti sukarelawan dan persatuan mahasiswa luar negara.
Sekembalinya ke tanah air, beliau bersama rakan menubuhkan persatuan belia kampung serta melaksanakan pelbagai inisiatif ekonomi anak muda di Chenor. Anak muda ini juga pernah menyertai misi sukarelawan ke Vietnam dan Myanmar bersama Bulan Sabit Merah Malaysia.

Sementara itu, Nur Azreena berkata, kemenangan yang diterima merupakan satu amanah untuk terus memberi sumbangan kepada masyarakat khususnya golongan belia.
“Sudah tentulah wang kemenangan akan gunakan untuk kebajikan. Kembali kepada komuniti semula. Jadi kita akan buat program kebajikan balik,” katanya.
Bercerita tentang penglibatannya dalam kebajikan, Nur Azreen yang merupakan Bendahari Pengakap Negeri Pahang turut mengusahakan sebuah kedai jualan amal pengakap dikenali sebagai Scot Charity Shop, di sini.
“Kedai itu juga merupakan ikon kepada negara-negara lain yang datang untuk mengambil idea atau mengetahui cara pengurusan untuk mereka menguruskan di negara-negara mereka sendiri contohnya Thailand, Singapura, Indonesia dan sebagainya,” katanya lagi.
Nur Azreen berharap kemenagan yang ddiperolehnya itu dapat menjadi inspirasi buat dirinya untuk terus membantu ddalam pembangunan belia dan pengakap negeri ini. -PAHANGMEDIA

