Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 18 MEI 2025 : Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Peringkat Negeri Pahang bersempena Festival Belia Pahang pada tahun ini dengan meraikan setiap segmen belia, termasuk dari pertubuhan.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, ini sekali gus menjadikan APBN Peringkat Negeri Pahang kali ini lebih inklusif dan bermakna.
“Kelainan anugerah dan festival belia kali ini di mana kita meraikan setiap segmen belia itu sendiri. Kalau kita tengok tadi, ada dari pertubuhan belia FELDA misalnya.
“Dari segi saya ingat kadar hadiah juga naik, kalau tak silap sayalah, berbanding dengan tahun sebelumnya. Cuma bezanya, Anugerah Diraja atau Belia Raja tahun ini tiada kerana ia diadakan setiap dua tahun sekali,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pengurniaan Anugerah Perdana Belia Negara (APBB) Peringkat Negeri Pahang mewakili Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertempat di Wisma Belia, di sini hari ini.
Menyentuh tentang Festival Belia Pahang pula, YB. Tuan Fadzli berkata, festival yang berlangsung selama tiga hari turut menampilkan kelainan dengan pengisian aktiviti pada edisi kali ini lebih memberi ruang kepada golongan belia untuk mendekati dan menanam kecintaan terhadap budaya.
“Kelainannya Festival Belia kali ini adalah pengisian aktiviti itu sendiri, macam saya sempat mengikuti siang tadi satu sesi bersama dengan Pembudaya Muda Malaysia saudara Zhiddin Aziz Desa.

“Jarang pengisian-pengisian sebegini walaupun hampir dua jam sesi tersebut. Saya mengikuti dari mula sampai habis, satu pendekatan yang baru kita nak tanamkan kecintaan anak muda ini terhadap Bahasa Melayu itu sendiri.
Dalam pada itu, seramai enam peserta menerima APBN Peringkat Negeri Pahang hari ini iaitu Mohammad Haikal Zakaria (Johan), Pravin A/L N.Ramakrishnan (Naib Johan), Akmal Mohd Tamili (Ketiga) bagi kategori lelaki manakala Nur Azreena Faizan (Johan), Nur Najwa Hussein (Kedua) dan Nur Irwani Kamal Noor (Ketiga) bagi kategori wanita.
Beliau turut menyampaikan Anugerah Khas Belia Kerajaan Negeri Pahang 2025 kepada Nurul Syazwani Muhamed Zabidi (Anugerah Khas Belia Akademik Negeri Pahang 2025); Muhammad Azwan Shah Mohd Asri (Anugerah Khas Belia Usahawan Negeri Pahang 2025); Roseffazleen Abdul Rahaman (Anugerah Khas Tokoh Belia Negeri Pahang 2025) dan Mohamad Nazri Yahya (Anugerah Khas Jada Belia Negeri Pahang 2025).
Selain itu turut disampaikan anugerah bagi kategori Pertubuhan Belia yang dimenangi oleh Majlis Belia India Malaysia Cawangan Kuantan (Johan), Persatuan Belia (MBFM) Felda Keembong Jengka 06 (Naib Johan) dan Angkatan Belia MFLS Cawangan Negeri Pahang.-PAHANGMEDIA

