Oleh : Ain Nadhirah Basha
LIPIS, 17 MEI 2025 : Program Subsidi Pembedahan Katarak Mata Warga Emas Negeri Pahang memberi manfaat kepada para penerima dengan pengurangan sehingga empat bulan sahaja iaitu separuh daripada waktu menunggu sebelum ini.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, sebelum ini tempoh menunggu bagi menjalani operasi pembedahan katarak adalah sehingga lapan bulan.

“Ini bermakna boleh jimat lebih kurang 50 peratus dan saya percaya empat bulan itu masih lagi boleh dipendekkan sekiranya kita ada kemudahan-kemudahan yang perlu seperti OT (bilik pembedahan) dan doktor pakar.
“Yang mendapat manfaatnya adalah rakyat, dan ini dapat dibuktikan apabila dalam taklimat tadi bahawa masa menunggu kalau dulu ya lapan bulan, telah dipendekkan kepada lebih kurang empat bulan.
“Sekiranya masalah ini dapat diatasi kita boleh lahi jimat masa bagi pembendahan katarak ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Peluncuran Program Subsidi Pembedahan Katarak Mata Warga Emas Negeri Pahang di bawah Inisiatif Makmur Pahang (IM Pahang) 2025 di Hospital Lipis.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir Razali Kassim; Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Hajah Sabariah Saidan; dan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri Abdul Rahman Hj Mohamad yang juga Ahli Parlimen Lipis.
Menurut beliau Kerajaan Negeri Pahang juga akan menimbangkan pertambahan jumlah hospital yang dijalankan di bawah inisiatif ini pada masa hadapan.

“Insya-Allah kita akan kembangkan lagi kalau sekiranya perlu dan sesuai dan bergantung kepada kemudahan yang ada di hospital-hospital lain termasuklah doktor-doktor pakar dan juga OT.
“Pemilihan empat hospital bagi inisiatif ini adalah sebab strategik. Di Pahang Barat ada di Lipis, di Pantai Timur ada di Kuantan, Pahang Tengah ada di Temerloh, jadi orang boleh pergi, dekat,” katanya.
Tambah beliau Kerajaan Negeri Pahang tidak akan menoktahkan usaha bagi menjaga kebajikan kepada rakyat di negeri ini melalui pelbagai pelan dan pelaksanaan inisiatif.

Program Subsidi Pembedahan Katarak Mata Warga Emas Negeri Pahang melalui Inisiatif Makmur Pahang ini telah bermula sejak tahun lepas dengan peruntukkan sebanyak RM1.5 juta yang memberi manfaat kepada 854 warga emas.
Insiatif ini diteruskan pada tahun ini dengan peruntukkan RM1 juta yang mensasarkan seramai 655 penerima yang mana ia merangkumi harga pakej pembedahan serta belanja mengurus bagi proses pembedahan dilaksanakan di fasiliti hospital Kerajaan di Negeri Pahang.
Empat buah hospital di negeri terlibat dengan pembedahan katarak termasuk klinik pra pembedahan iaitu Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan; Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh; Hospital Kuala Lipis,Lipis; dan Hospital Rompin, Rompin yang melibatkan lebih 100 kakitangan kesihatan bertugas. -PAHANGMEDIA

