Oleh : Ain Nadhirah Basha & Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 15 MEI 2025 : UCYP University telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bersama Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) untuk menubuhkan sebuah Pusat Latihan dan Penyelidikan Halal di negeri ini.
Perjanjian ini ditandatangani oleh Naib Canselor UCYP University, YH. Profesor Dato’ Dr. Muhammad Fauzi Mohd Zain, dan JAIP diwakili pengarahnya, YH. Dato’ Zaliza Zulkipli.
Turut menyaksikan majlis perjanjian berkenaan adalah Pengerusi Lembaga Pengelola UCYP University, YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Profesor Dr. Noorul Ainur Mohd Nur.

Menurut YH. Dato’ Zaliza, perjanjian bersama Bahagian Pengurusan Halal JAIP ini dapat menjadi faktor peningkatan perolehan sijil halal di Negeri Pahang.
“Sepanjang tahun 2024, pihak Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) telah menerima 613 permohonan sijil halal dengan kadar peningkatan 66.83 peratus berbanding pada tahun sebelum ini.
“Salah satu faktor yang memberi ruang kepada peningkatan ini ialah program Halal On Track yang telah diadakan di Negeri Pahang pada tahun lepas bersama pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
“Dan insyaAllah program Halal On Track ini akan diadakan semula dan ini memberikan impak yang besar kerana di situ kita mengumpulkan seluruh pengusaha dan usahawan termasuk non muslim, di mana kita berikan input berkenaan industri halal ini,” katanya.

Beliau turut melahirkan keyakinan terdapat pertambahan sebanyak 90 peratus iaitu kira-kira 1,500 permohonan akan diterima dalam pensijilan halal bagi tahun ini di negeri ini.
Manakala, YB Tan Sri Dato’ Sri Profesor Dr. Noorul Ainur berkata pihak UCYP University turut komited untuk menjayakan pelaksanaan kerjasama ini secara berterusan.
“UCYP University juga sedang merancang untuk mewujudkan program latihan bersijil, seminar penyelidikan halal, dan bengkel industri secara berjadual, dengan kerjasama rapat bersama pihak JAIP.
“Dengan kerjasama ini, kita bukan sahaja mendidik dan melatih, tetapi juga meletakkan Pahang sebagai pusat rujukan halal yang tersohor di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya. -PAHANGMEDIA

