Oleh : Norhafizan Zulkifli
BERA, 16 MEI 2025 : Kerajaan Negeri Pahang sentiasa menyokong segala usaha dan inisiatif yang digerakkan oleh golongan belia selagi ia tidak bercanggah dengan undang-undang serta peraturan yang telah ditetapkan.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan berkata, Kerajaan Negeri juga optimis bahawa generasi muda di negeri adalah generasi berkualiti yang matang, berfikiran jauh dan bijak membezakan perkara baik dan buruk.
“Kerajaan amat mengalu-alukan pandangan saudara saudari sekalian selaku golongan belia supaya kita dapat bekerjasama untuk membawa negeri dan negara ini ke satu era kecemerlangan yang mana ianya akhirnya dapat dikecapi oleh anak bangsa di kemudian hari,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan Sambutan Semarak Hari Belia Negara Peringkat Daerah Bera dan Pertandingan Tarian Sekolah-Sekolah Daerah Bera Tahun 2025, di sini, semalam.
Yb. Dato’ Sabariah turut menyeru masyarakat agar sama-sama memikul tanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara daripada ancaman golongan ekstremis yang cuba mengganggu-gugat keharmonian negara.
“Hanya dengan harmoni yang ada ini sahaja akan menarik pelabur asing datang ke negara kita seterusnya memacu pertumbuhan ekonomi dan nikmatnya akan dirasai oleh kesemua masyarakat terutamanya golongan belia di masa akan datang,” katanya lagi.
Mengulas mengenai pertandingan tarian yang dianjurkan sempena sambutan tersebut, beliau menyifatkan ia sebagai platform terbaik mencungkil bakat, potensi dan kreativiti pelajar, selain memperkukuh semangat perpaduan.
“Saya dimaklumkan lebih 50 pasukan dari sekolah rendah dan menengah mengambil bahagian. Persembahan yang dipersembahkan bukan sahaja menyerlahkan nilai seni dan warisan budaya, malah mencerminkan kerjasama dan perpaduan yang tinggi,” katanya.
Tambah beliau, pertandingan seumpama ini juga mampu membina keyakinan diri, mengeratkan hubungan antara sekolah dan komuniti serta memupuk nilai hormat-menghormati dalam kalangan generasi muda.
Justeru, beliau berharap program sebegini dapat diteruskan dan diperluaskan dengan sokongan semua pihak.
“Saya merakamkan ucapan tahniah kepada penganjur program iaitu hasil kolaborasi antara Pejabat Pendidikan Daerah Bera, Majlis Belia Daerah Bera serta sokongan agensi seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Kolej Komuniti dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK),” katanya.
Pada majlis itu, kumpulan tarian dari SMK Bera dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Tarian bagi kategori sekolah menengah manakala SK Kerayong Jaya muncul johan bagi kategori sekolah rendah. -PAHANGMEDIA

