Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 14 MEI 2025 : Sumbangan Kerajaan Negeri Pahang kepada Masjid Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah membuktikan keprihatinan berterusan dalam usaha memartabatkan syiar Islam di negeri ini.
Qadhi Daerah Jengka, Al-Fadhil Tuan Haji Nik Ibrahim Nik Abdullah berkata, sumbangan bernilai lebih RM100,000 itu akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi menaik taraf infrastruktur dan fasiliti masjid.
Katanya, selain itu, sumbangan turut diberikan kepada Badan Kebajikan Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Jengka bagi menyokong pelbagai program kebajikan dan kemasyarakatan.
“Saya bagi pihak masjid dan badan kebajikan PAID merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih, khususnya kepada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail atas keprihatinan Kerajaan Negeri Pahang dalam meninggikan syiar Islam, khususnya menerusi pengimarahan masjid dan kebajikan umat Islam di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Cek Sumbangan Kerajaan Negeri Pahang yang diadakan di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS) di sini, hari ini.
Seramai 41 penerima daripada pelbagai kategori hadir menerima sumbangan keseluruhan bernilai kira-kira RM1.8 juta yang disampaikan sendiri oleh YAB Menteri Besar.

Sementara itu, salah seorang penerima, Encik Noor Azmi Zairun, 40, berkata sumbangan bernilai RM30,000 yang diterima akan digunakan bagi memperkembangkan perusahaan menternak lembu yang diusahakan sejak lapan tahun lalu.
Menurutnya, beliau kini memiliki kira-kira 13 ekor kerbau yang diternak di Kampung Binjai, Jerantut dan sumbangan itu akan dimanfaatkan bagi membina kandang yang lebih luas serta menambah bilangan ternakan.
“Sumbangan ini akan digunakan bagi pembinaan kandang baharu, memperluas kandang sedia ada serta menambahkan bilangan ternakan kerbau saya.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang dan Tokwan (YAB Menteri Besar), terutamanya kerana memberi sumbangan yang dapat membantu meningkatkan kualiti perusahaan kami,” katanya.-PAHANGMEDIA

