Oleh : Nadiatul Izzati Baharudin
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 14 MEI 2025 : Kerajaan Negeri menyumbangkan sebanyak RM1.8 juta kepada 41 penerima pelbagai kategori bertempat di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS), di sini hari ini.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sumbangan ini adalah hasil daripada kestabilan kewangan Kerajaan Negeri Pahang.
“Alhamdulillah kita dapat berkumpul pada pagi ini untuk penyerahan bantuan Inisiatif Makmur Pahang (IM Pahang) bernilai lebih kurang RM1.8 juta. Sumbangan ini disalurkan tiap-tiap minggu cuma jumlahnya berbeza.

“Ini bukanlah satu angka yang sedikit. Kita boleh meneruskan bantuan ini kerana kedudukan kewangan negeri yang stabil,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Cek Sumbangan Kerajaan Negeri Pahang, di sini hari ini.
Dalam pada itu Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy turut menyerahkan replika kunci kenderaan pacuan empat roda kepada tiga Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) iaitu PAID Rompin, PAID Bera dan PAID Temerloh.
Tiga buah kenderaan berupa Toyota Hilux terbabit akan digunakan bagi memudahkan pihak pejabat menjalankan dakwah di kawasan masing-masing.
Penyerahan terbabit turut disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal; dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam. – PAHANGMEDIA

