Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
JERANTUT, 13 MEI 2025 : Proses naiktaraf jalan dari Jengka 12 sehingga Jengka 25 sepanjang 7.7 kilometer dengan kos dianggarkan sebanyak RM50 juta akan bermula September ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir Razali Kassim, proses naiktaraf ini bagi memberi keselesaan kepada pengguna yang semakin bertambah di laluan berkenaan.
“Jalan ini baru diluluskan oleh pihak kementerian iaitu laluan FT1533 di mana kita naiktaraf jalan daripada persimpangan Jengka 12 sehingga persimpangan Jengka 25 sejauh 7.7 kilometer.

“Ia telah pun siap direka bentuk dan dijangkakan (penyerahan) tender pada bulan hadapan dan lebih kurang dalam tempoh tiga bulan, insyaAllah pada September akan dikeluarkan SST (Surat Setuju Terima) sekiranya proses berjalan lancar.
“Dengan penaiktarafan jalan ini daripada R2 kepada R3 akan memberi keselesaan kepada pemandu, pengguna jalan raya dengan anggaran kos sebayak RM50 juta yang telah diluluskan oleh pihak kementerian,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Road Tour Negeri Pahang Bersama Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang di Temerloh, Maran, dan Jerantut.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya Negeri Pahang, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang, YB. Tuan Khaizulnizam Mohamad Zuldin; ADUN Jenderak, YB. Dato’ Rodzuan Zaaba; dan ADUN Yang Dilantik, YB. Tuan Haris Salleh Hamzah.
Menurut beliau, projek penaiktarafan laluan ini dijangka dapat diselesaikan sepenuhnya pada penghujung 2027 memandangkan laluan berkenaan merupakan jalan utama bagi penduduk sekitar.
“Kita akan lebarkan jalan, sekarang R2 ini lebarnya lebih kurang 4.6 meter tapi bila naiktaraf kepada R3 dia jadi 6 meter dan bahu jalan 1.5 meter lagi, jadi selesa bagi pengguna jalan raya.

“Kita mendengar keluhan orang ramai di mana volume traffic semakin bertambah. Dulu jalan ini mungkin dibina oleh Felda kemudian federal ambil alih.
“Jadi kita tengok volume traffic semakin meningkat dan usia jalan dah mungkin lebih daripada 30 tahun, jadi kita perlu naiktaraf. Jalan ini juga menjadi jalan utama bagi penduduk Kuala Krau untuk ke Jengka,” katanya.
Tambah beliau, sebarang aduan berkenaan kerosakan jalan boleh dilaporkan melalui platform rasmi pihak Kementerian Kerja Raya dan pejabat Jurutera Daerah di setiap daerah di negeri ini. -PAHANGMEDIA

