Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 13 MEI 2025 : YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan penjawat awam negeri ini khususnya kakitangan Pejabat Tanah dan Galian Pahang (PTG), Pejabat Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT).
Katanya, penjawat awam khususnya PTG, JPNP dan PDT merupakan barisan hadapan yang menjadi tulang belakang pentadbiran negeri, nadi utama dalam penyampaian perkhidmatan, pelaksanaan dasar serta penjaga kepada amanah sumber negeri.

“Jadi kepada semua yang hadir pada hari ini saya ucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas dedikasi yang berterusan, semangat kerja berpasukan yang mengagumkan serta ketahanan jiwa dalam menghadapi pelbagai cabaran yang semakin kompleks,” katanya ketika berucap di Majlis Perjumpaan Penjawat Awam PTG, JPNP, dan PDT bertempat di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini hari ini.
Majlis dihadiri YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar, YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Haji Fadzilla Salleh, YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, YBhg. Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal dan barisan ketua-ketua jabatan negeri ini.

Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy turut mengingatkan agar penjawat awam PTG, JPNP dan PDT agar tidak mudah berputus asa dengan tekanan yang dihadapi.
“Saya beritahu kepada tuan-tuan dan puan-puan, selagi kita memegang tugas, ada amanah, ada peranan, ini semua perkara biasa dalam kehidupan kita. Yang pentingnya kita jangan berputus asa.
“Kita kena hadapi semua ini. Jangan rasa takut, jangan rasa gentar… kita hadapi. Dan InsyaAllah akan ada jalan penyelesaiannya,” katanya lagi.

Beliau turut mengingatkan agar kakitangan PTG, JPNP dan PDT di negeri ini untuk terus menjalankan dengan penuh tanggungjawab dan menguruskan hasil negeri dengan baik.
“Sebab itu peranan tuan-tuan dan puan-puan sangat penting. Apabila tuan dan puan uruskan dengan baik, kutip hasil dengan baik, uruskan ketirisan dan kebocoran dengan baik, yang untungnya adalah kita (Kerajaan Negeri dan rakyat Negeri Pahang),” ujarnya. – PAHANGMEDIA

