Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
BENTONG, 08 MEI 2025 : Program Bicara Espresso Wanita anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Pahang merupakan platform bagi mendengar suara dan gelojak jiwa wanita.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Hajah Sabariah Saidan, program ini juga dapat menjadi medan perkongsian pengalaman, emosi dan ilmu berkenaan masalah penagihan dadah diantara peserta.
“Program hari ini turut melibatkan empat panel yang berkongsi cerita tentang motivasi, dan pengalaman. Saya difahamkan ada panel yang merupakan ibu kepada tiga anak yang terlibat dengan najis dadah.

“Pihak JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) turut terlibat. Dan kita juga ada sesi perkongsian daripada bekas penagih di mana dia menyeru menjauhi dari terjebak dengan najis dadah ini.
“Dan konsep program ini iaitu Selembut Sutera, Seteguh Besi juga menunjukkan walaupun wanita lembut tetapi mereka kuat apabila berhadapan dengan masalah seperti ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Penutup Program Bicara Espresso Wanita: Selembut Sutera, Seteguh Besi Agensi Antidadah Kebangsaan Negeri Pahang Tahun 2025 di Hotel Scapes, Genting Highlands.
Turut hadir, Pengarah AADK Negeri Pahang, YBrs. Puan Zirwatul Ahlam Zamzam; dan Pengerusi Jawatankuasa Rawatan Pemulihan Dadah Daerah (JKPD) Daerah Bentong yang juga Ahli Parlimen Bentong, YB. Puan Young Syefura Othman.

Beliau berkata program ini bukan sekadar ceramah atau forum tetapi merupakan ruang menyapa hati dan membina semula kekuatan dari dalam diri para peserta.
“Lebih bermakna, program ini juga merupakan salah satu pengisian dalam siri Jelajah Pahang Teguh Dadah Terkawal (PTDT) bersempena Sambutan Peringatan Hari Antidadah Antarabangsa (HAD) Tahun 2025 yang setiap daerah mempunyai menu program masing-masing dari Januari hingga Julai nanti dan daerah Bentong telah memilih Bicara Espresso.
“Hari ini, saya berdiri bukan sekadar untuk merasmikan majlis penutup, tapi untuk mengangkat setinggi-tinggi penghargaan buat wanita-wanita yang hadir di sini. Anda adalah isteri, ibu, anak dan dalam masa yang sama, pejuang.
“Pejuang yang tidak memilih untuk berundur walau diuji dengan penagihan orang tersayang, pejuang yang tetap bertahan walau disalah faham, dihina, dan ditinggalkan. Dan pejuang yang tetap kembali bangkit, bukan hanya untuk diri sendiri, tapi untuk anak-anak dan keluarga,” katanya. -PAHANGMEDIA

