Oleh: Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 30 APRIL 2025 : Kerajaan Negeri Pahang telah membuat permohonan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi menambah kuota pelajar yang boleh melanjutkan pengajian ke universiti di Jordan.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, permohonan tersebut turut dikemukakan kepada pihak universiti terlibat dan telah mendapat pertimbangan untuk penambahan kuota berkenaan.

“Baru ini Tok Wan pergi jumpa Menteri Pendidikan, beritahu kita nak tambah lagi pelajar dari Pahang ke universiti di Jordan ini.
“Minta kuota lagi dari pihak universiti dan mereka akan pertimbangkan untuk memberi kuota kepada Kerajaan Negeri Pahang,” katanya ketika menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Pelajar Pahang di Jordan yang diadakan di Hotel Hilton Amman, Jordan, semalam.
Majlis turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir. Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak serta Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy dalam pada itu menasihatkan para pelajar agar tidak hanya belajar dengan tekun, tetapi juga perlu mengambil tahu mengenai perkembangan semasa yang berlaku di negeri ini.
“Jadi Tok Wan ambil kesempatan ini, walau ke mana pun Tok Wan pergi, inilah caranya. Tok Wan akan jumpa anak-anak untuk menceritakan negeri kita sebab Tok Wan tak nak, dengan kecanggihan media sosial, anak-anak terkeliru. Tok Wan nak anak-anak tahu apa sebenarnya yang berlaku di negeri Pahang.
“Kepada anak-anak semua Tok Wan nak beritahu, belajar rajin-rajin, ambil tahu perkembangan semasa dan jangan terpengaruh dengan persepsi ataupun cakap-cakap yang tidak betul… Dan buat analisa apa yang Kerajaan Negeri telah buat,” katanya lagi.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri menghantar anak-anak Pahang melanjutkan pengajian sama ada di dalam atau luar negara agar mereka mempunyai pengetahuan serta mampu menganalisa maklumat yang diterima dengan bijaksana.
“Contohnya, kalau orang kata Kerajaan Negeri Pahang ini tidak islamik, sekular, takkan anak-anak semua ini nak terima bulat-bulat begitu sahaja? Anak-anak semua kena buat analisa, bandingkan dengan negeri yang kononnya islamik. Apa Kerajaan Negeri Pahang buat? Apa yang kerajaan dipimpin sebelah sana buat? Itu kita kena kaji,” ujarnya. – PAHANGMEDIA

