Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 01 MEI 2025 : Lima lelaki termasuk empat warga asing ditahan selepas di kesan menceroboh Hutan Simpan Batu Talam di Raub petang semalam.
Menurut satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Daerah Raub, Supt. Mohd Shahril Abd Rahman, kesemua mereka ditahan selepas pihak polis terserempak dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipandu lelaki tempatan.

“Bertindak atas maklumat yang diterima, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub dan Balai Polis Tranum terus ke lokasi kejadian di Hutan Simpan Batu Talam.
“Setibanya di kawasan Hutan Simpan Batu Talam tersebut, telah terserempak dengan sebuah motokar 4WD yang dipandu oleh seorang lelaki Cina dan sebuah motorsikal yang ditunggang oleh seorang lelaki warganegara Indonesia.
“Pemeriksaan lanjut di kawasan sekitar juga telah menemui sebuah rumah kongsi yang didiami oleh tiga lelaki warganegara Indonesia. Seterusnya tangkapan telah dibuat ke atas kelima-lima lelaki tersebut,” katanya.

Beliau berkata pihak polis turut menghubungi Pejabat Hutan Daerah Raub bagi mendapatkan pengesahan berkaitan status kawasan yang terlibat dan siasatan lanjut.
“Setibanya pasukan daripada Pejabat Hutan Daerah Raub, telah mengesahkan kesemua tangkapan tersebut adalah di kawasan Hutan Simpan Batu Talam.
“Kesemu tangkapan telah dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah Raub untuk tindakan selanjutnya oleh Pejabat Hutan Daerah Raub di bawah Seksyen 88(1) Akta Perhutanan Negara 1984.
Supt. Mohd Shahril berkata pihaknya sentiasa memandang serius perkara berkenaan pencerobohan hutan simpan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat agar menyalurkan segera kepada pihak polis.
“Ketua Polis Daerah Raub sentiasa memandang serius akan kegiatan pencerobohan hutan simpan ini dan akan meneruskan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada lagi kejadian seumpama ini berlaku di masa akan datang.
“Sebarang maklumat boleh terus disalurkan dengan menghubungi bilik gerakan IPD Raub di talian 09-355 2222,” katanya. -PAHANGMEDIA

