Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 29 APRIL 2025 : Bendera Pahang berkibar megah di puncak gunung tertinggi di Asia Tenggara, Gunung Kinabalu susulan kejayaan 66 pendaki dari pelbagai agensi kerajaan di negeri menawan gunung tersebut pada Ahad.
Kejayaan pasukan Ekspedisi Gunung Kinabalu 2025 yang diketuai oleh Pengelola Bijaya Diraja Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, YH. Dato’ Ahmad Khirrizal Ab Rahman telah mengibarkan bendera Pahang di puncak Aki Nabalu dengan ketinggian 4,095 meter pada 7.30 pagi.
Ekspedisi anjuran Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Pahang ini dijalankan bertujuan untuk membina kerjasama, jati diri, ketahanan fizikal, mental serta disiplin para perserta di mana kesemua peserta telah memulakan perjalanan sejauh 6 kilometer bermula dari Timpohon Gate ke Panalaban pada 26 April sebelum meneruskan pendakian ke puncak pada 2.30 pagi 27 April.

Kesemua peserta terdiri daripada 16 perempuan dan 50 lelaki ini mewakili Pejabat SUK Negeri Pahang, Pejabat Majlis Kesultanan Pahang, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pahang, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP), Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pahang, Jabatan Pendakwaan Syarie Pahang, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Pahang, dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).
Program mendaki yang bermula 25 April sehingga hari ini merupakan sebahagian daripada pengisian program Kursus Jati Diri dan Bina Insan antara Agensi Negeri Pahang di mana latihan ini dikendalikan oleh jurulatih dan pegawai Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Pada Khamis lepas, Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah telah berkenan menyempurnakan pelepasan kumpulan ekspedisi ini di Pekan.
Pasukan ekspedisi ini juga turut menyerahkan kurniaan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang berupa wang tunai dan Yassin kepada Masjid Jamek Kundasang dalam satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Turut menyertai pendakian tersebut, Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang, YH. Dato’ Dr Mohd Zakaria Ibrahim; Ketua Hakim Syarie Negeri Pahang, YAA. Dato’ Abdul Walid Abu Hassan; Naib Pengerusi Tiga, Majlis Rekreasi Pahang, YH. Dato’ Dr. Ts. Wan Mohammad Zaidi Wan Isa; dan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Negeri Pahang, YBhg. Kol (Pertahan Awam) Che Adam Abdul Rahman. -PAHANGMEDIA

