Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 29 APRIL 2025 : Mencabar diri sendiri sebelum memasuki usia 40 tahun menjadi pencetus semangat kepada Puan Fatin Najuwa Ahmad Hasbullah untuk mendaki Gunung Kinabalu.
Menurut Puan Fatin Najuwa, gunung yang menjadi imej Negeri di Bawah Bayu ini merupakan gunung pertama yang didakinya dan beliau merasa amat bersyukur kerana berjaya mendaki sehingga ke puncak tanpa sebarang masalah.

“Gunung Kinabalu ini merupakan gunung pertama saya daki kerana saya nak cabar diri sendiri sebelum umur 40 tahun untuk lakukan sesuatu perkara baharu.
“Walaupun semasa turun, cuaca hujan dan suhu sekitar 3 darjah celcius sehingga 8 darjah celcius, saya rasa bersyukur sangat, terlampau lega dan gembira kerana berjaya naik dan turun dengan selamat.
“Bagi saya aktiviti mendaki ini memerlukan training yang cukup, para pendaki perlu prepare for the worst dan perlu memiliki mental yang kuat,” katanya yang merupakan Ketua Seksyen Pembangunan Perdagangan Dalam Negeri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang.
Sementara itu, menurut Pengarah Komunikasi Strategik (UKS) Negeri Pahang, Encik Khairul Anwar Dato’ Ahmad Nadzer, pendakian yang juga merupakan kali pertama beliau ini berdasarkan ingin menguji kekuatan fizikal dan mental diri.

“Ini kali pertama saya hiking. Saya bukan hikers tetapi saya minat perkara yang mencabar dan menguji kekuatan fizikal dan mental. Dan Gunung kinabalu mengandungi kedua-dua cabaran fizikal dan mental di mana kedua-duanya harus seiring. Mendaki dengan kelajuan 1 kilometer (km) sejam betul-betul menguji fizikal dan mental.
“Pendirian yang saya pegang dari dulu, kalau ikut kerja kuat, ada matlamat, ada azam nak capai matlamat tu, pasti berbaloi. Bila sampai ke puncak, memang hilang rasa penat tengok pemandangan. Bila sampai ke bawah, rasa puas dapat habiskan misi. Bermain dengan alam juga buat kita dekat dengan Allah. Betapa indah dan agungnya ciptaan yang Maha Esa,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar para peminat aktiviti mencabar seperti dirinya untuk memasukkan pendakian ke Gunung Kinabalu ini ke dalam senarai.
“Untuk yang suka cabaran macam saya, pastikan Gunung Kinabalu ada dalam bucket list. Menawan Gunung Kinabalu bermaksud anda mampu kuasai fizikal dan mental. Dan untuk yang pertama kali macam saya, boleh semat ayat ini; mind over body,” katanya.
Bagi Encik Mohd Fadzli Hamid, latihan persediaan bagi mendaki Gunung Kinabalu yang dijalankan sejak Disember 2024 banyak membantu menguatkan fizikal dan mental para peserta ekspidisi kali ini.
“Ini merupakan kali kedua saya mendaki gunung selepas kali pertama mendaki Gunung Daik pada 2017. Bagi saya persediaan awal pasukan ini sejak Disember tahun lepas sangat membantu kami untuk menguatkan fitness, fizikal dan juga mental kami.
“Dengan diketuai oleh Fazli Ahmad dan dibantu Tuan Wan Samsul, team bomba dan Majlis Sukan Pahang (MSP), kami berlatih secara konsisten dan ketat. Antaranya mendaki
Menara Kuantan dan Menara TRX menggunakan tangga, selain menyertai sukan Mara Lasak di Raub, dan larian sejauh 5 kilometer sehingga 10 kilometer sehari,” katanya yang bertugas di Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri Pahang.
Seramai 66 pendaki dari pelbagai agensi kerajaan Negeri Pahang telah berjaya menawan puncak Aki Nabalu dengan ketinggian 4,095 meter pada 7.30 pagi Ahad lepas dalam program mendaki yang merupakan sebahagian daripada pengisian program Kursus Jati Diri dan Bina Insan antara Agensi Negeri Pahang. -PAHANGMEDIA

