Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 24 APRIL 2025 : “Saya memberi amaran keras, jangan cabar ketegasan Kerajaan Negeri. Kerajaan Negeri bersama agensi-agensi penguatkuasaan akan terus memperhebat operasi pemantauan, penguatkuasaan dan tindakan undang-undang.”
Itu tegas YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkenaan isu pencerobohan tanah secara haram di negeri ini.
Menurut Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy, pencerobohan tanah kerajaan merupakan satu jenayah dan Kerajaan Negeri akan menggunakan segala peruntukan undang-undang bagi memastikan setiap inci tanah yang diceroboh secara haram diambil kembali dan dipulihkan semula.
“Saya ingin tegaskan di sini, Kerajaan Negeri Pahang tidak akan sesekali berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menceroboh tanah milik kerajaan secara haram. Tindakan sedemikian bukan sahaja melanggar undang-undang, malah mencabuli kedaulatan dan maruah pentadbiran negeri ini.
“Kita tidak akan tunduk kepada mana-mana tekanan, ugutan atau helah daripada pihak yang tidak bertanggungjawab, sama ada individu mahu pun kumpulan.
“Saya memberi amaran keras, jangan cabar ketegasan Kerajaan Negeri. Kerajaan Negeri bersama agensi-agensi penguatkuasaan akan terus memperhebat operasi pemantauan, penguatkuasaan dan tindakan undang-undang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Mesyuarat Pertama Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang hari ini.
Beliau berkata, tindakan ini bukan bertujuan untuk memalukan sesiapa, tetapi sebagai peringatan dan pengajaran bahawa Kerajaan Negeri amat serius dalam menangani isu ini secara menyeluruh.
“Pencerobohan tanah kerajaan merupakan satu jenayah dan Kerajaan Negeri akan menggunakan segala peruntukan undang-undang bagi memastikan setiap inci tanah yang diceroboh secara haram diambil kembali dan dipulihkan semula,” katanya.
Katanya lagi, tanah hak milik Kerajaan Negeri akan dipastikan digunakan untuk pembangunan negeri, demi kesejahteraan rakyat secara menyeluruh dan bukan untuk kepentingan pihak yang tamak dan tidak bertanggungjawab.
“Justeru, Kerajaan Negeri Pahang memandang serius perkara ini dan telah mengambil tindakan tegas serta bersepadu dalam menangani isu tersebut dari pelbagai sudut.
“Antara langkah tegas yang diambil oleh Kerajaan Negeri adalah dengan menubuhkan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) pada 15 Oktober 2019 bagi memastikan penguatkuasaan ini dilaksanakan secara berterusan dan terancang.
“Sejak penubuhannya, sebanyak 23 operasi pemusnahan telah dijalankan melibatkan kawasan seluas 3,366 ekar atau 1,362 hektar. Bermula pada tahun 2023, tindakan telah diambil untuk mendakwa penceroboh ke muka pengadilan, dan tidak lagi hanya mengenakan kompaun seperti sebelumnya,” katanya.
Tambah beliau, pelbagai usaha berterusan dan menyeluruh juga telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pahang dalam memastikan pemuliharaan tanah, pemerkasaan undang-undang dan kelestarian negeri sentiasa terpelihara.
“Dalam masa yang sama, untuk menangani isu pencerobohan secara holistik, Kerajaan Negeri turut menubuhkan beberapa GLC khusus bagi pengurusan dan pemantauan tanah, seperti, Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK), Pahang Corporation, Pahang MiningCorporation, Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP), Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP), dan yang terbaharu, Pahang Gold.
“Selain itu, penubuhan Akademi Mineral Pahang dan Skim Pelombong Kecil adalah untuk membantu pemilik tanah mendapatkan lesen melombong secara sah,” katanya. -PAHANGMEDIA

