Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 23 APRIL 2025 : Kerajaan Negeri Pahang terus komited dalam usaha membanteras penularan wabak denggi dengan pelaksanaan sebanyak 427 aktiviti pembersihan dijalankan sepanjang tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim berkata, aktiviti pembersihan itu membabitkan pelbagai fasiliti termasuk pejabat, kuarters kerajaan, institusi pendidikan dan masjid.
Katanya, inisiatif lain yang dilaksanakaan juga termasuklah Program One Hour Clean Up Negeri Pahang.
“Program berkenaan dijalankan secara bulanan di semua agensi kerajaan selain kempen “Cari dan Musnah 10 Minit Seminggu Sekali” yang bertujuan mendidik masyarakat agar bertindak secara proaktif dalam pencegahan denggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Semantan, YB. Tuan Hassanuddin Salim dalam sesi pertanyaan lisan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Menurutnya, sebanyak 6,579 premis dikenal pasti sebagai lokasi pembiakan nyamuk Aedes hasil pemeriksaan terhadap 680,491 premis sepanjang tahun 2024.
“Sebanyak 4,036 premis telah dikeluarkan cadangan kompaun di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 (Pindaan 2000) dengan nilai tawaran kompaun berjumlah RM2,018,000.00.
“Manakala, 1,161 notis di bawah Seksyen 8 akta sama turut dikeluarkan kepada penduduk yang mempunyai kawasan berpotensi menjadi tempat pembiakan jentik-jentik Aedes,” katanya.
Tambah beliau, tiga kategori lokasi utama pembiakan nyamuk Aedes yang dikenal pasti iaitu Rumah kediaman dan kedai (5,596 kes), Tanah atau lot kosong (587 kes) dan Sekolah dan institusi pendidikan (170 kes.
Mengulas mengenai situasi semasa, YB. Dato’ Ir. Razali berkata, Pahang mencatat peningkatan kes denggi pada 2024 dengan 1,958 kes, berbanding 1,609 kes pada 2023.
“Kuantan mencatat jumlah kes tertinggi iaitu 723 kes, diikuti Temerloh (404), Pekan (145), Raub (138), Bera (134), Maran (129), Rompin (125), Bentong (83), Lipis (41), Jerantut (27) dan Cameron Highlands (9),” katanya.
Beliau turut memaklumkan sebanyak lima kematian akibat komplikasi denggi direkodkan tahun lalu berbanding dua kematian pada tahun sebelumnya. Kes kematian tersebut masing-masing direkodkan satu kes di Kuantan, Bentong, Rompin, Raub dan Bera.
“Peningkatan kes ini selari dengan gelombang epidemiologi yang lazimnya berlaku setiap empat hingga lima tahun, selain dipengaruhi faktor perubahan cuaca, pertukaran serotaip virus, serta pergerakan masyarakat yang kembali aktif selepas pembukaan sektor ekonomi dan pelancongan,” jelasnya. -PAHANGMEDIA

