Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 18 APRIL 2025 : “Jangan ada mana-mana pihak yang cuba mengeruhkan suasana, atau menyemai fitnah dengan melontarkan dakwaan kononnya tanah rizab Melayu di negeri beta semakin terhakis, tergadai, atau terlepas kepada tangan orang luar.”
Itu tegas Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah supaya tiada lagi pihak yang membuat tomahan berkenaan tanah rizab Melayu di negeri ini semakin berkurang.
Paduka Baginda turut bertitah bahawa fakta dan data yang ada jelas menafikan tomahan berkenaan tanah rizab Melayu ini dan menzahirkan harapan Kerajaan Negeri terus memperkukuhkan kedudukan tanah rizab Melayu melalui tindakan penguatkuasaan.
“Sehubungan itu, beta tegas mengingatkan, jangan ada mana-mana pihak yang cuba mengeruhkan suasana, atau menyemai fitnah dengan melontarkan dakwaan kononnya tanah rizab Melayu di negeri beta semakin terhakis, tergadai, atau terlepas kepada tangan orang luar. Fakta dan data telah jelas menafikan tomahan sedemikan.
“Malah beta berharap agar kerajaan beta terus memperkukuhkan lagi kedudukan tanah rizab Melayu melalui penguatkuasaan undang-undang yang tegas, berprinsip dan berani dalam membanteras pencerobohan.
“Baik di atas tanah rizab mahupun tanah milik Kerajaan beta. Ini adalah tanggungjawab yang tidak boleh dikompromi,” titah baginda sempena Majlis Perasmian Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang hari ini.
Paduka baginda turut menzahirkan rasa syukur dan bangga di atas peningkatan tanah rizab Melayu sebanyak 12.34 peratus di negeri ini yang merupakan bukti nyata hasil komitmen dan iltizam Kerajaan Negeri Pahang dalam memelihara warisan bangsa.
“Beta juga melahirkan rasa bangga dan syukur yang tidak terhingga apabila tanah rizab Melayu di negeri beta telah menunjukkan peningkatan yang membanggakan.
“Daripada 318,326 hektar pada tahun 1955 kepda 444,074 hektar pada masa kini. Jumlah ini merangkumi 12.34 peratus daripada keseluruhan keluasan negeri beta yang berukuran 3.597 juta hektar.
“Pencapaian ini merupakan bukti nyata, komitmen dan iltizam kerajaan beta dalam memelihara warisan milik bangsa. Satu pegangan yang bukan sahaja bernilai ekonomi tetapi juga mempunyai erti yang mendalam dari sudut jati diri dan maruah orang Melayu,” titah baginda. -PAHANGMEDIA

