Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 17 APRIL 2025 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan mengurniakan Surat Cara Lantikan YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang yang baharu, YBhg. Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi.
Paduka Baginda turut berkenan menyaksikan Ikrar Taat Setia oleh YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang pada majlis yang berlangsung di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz hari ini.

Turut hadir, YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; barisan Ahli Majlis Kerajaan Negeri; Ahli Jumaah Pangkuan Diraja Negeri; dan ketua-ketua jabatan.
YBhg. Muhammad Saifuddin yang berusia 59 tahun sebelum ini merupakan YB. Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan II, Bahagian Pendakwaan di Jabatan Peguam Negara, Putrajaya.

Pelantikan YB. Pegawai Undang-undang Negeri Pahang yang berkuatkuasa hari ini bagi menggantikan Dato’ Sri Saiful Edris Zainuddin yang bertukar sebagai Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan di Bahagian Perbicaraan dan Rayuan, Jabatan Peguam Negara, Putrajaya setelah berkhidmat di Pahang sejak 2021.
Anak kelahiran Perak yang merupakan lulusan Sarjana Muda Undang-undang Universiti Malaya ini memulakan karier di Mahkamah Seksyen Ipoh pada 10 Jun 1993. -PAHANGMEDIA

