Oleh : Ain Nadhirah Basha
RAUB, 14 APRIL 2025 : Sebanyak lapan buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhimpun sebagai tanda sokongan penuh kepada tindakan penguatkuasaan terhadap kebun haram Musang King yang dilaksanakan oleh Kerajaan Pahang melalui Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) di Sungai Ruan.
NGO sebelum itu turut membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub bermula 9 pagi secara berperingkat.
Menurut Pengerusi Bebaskan Tanah Pahang, Masridzi Sat, laporan ini dibuat setelah melihat provokasi yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Raub terhadap UPNP melalui video yang tular pada 9 April lepas.
“Kami menyokong penuh tindakan UPNP dan Kerajaan Negeri Pahang tersebut dan mengharapkan pihak berkuasa UPNP melalui KDN dan PDRM dapat bertindak dengan lebih tegas lagi termasuklah menggunakan SOSMA jika perlu kepada kumpulan penceroboh tanah yang menengking, menghina, menghalang, dan membuat provokasi kepada penjawat awam yang sedang menjalankan tugas,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pahang, Mohd Kamil Ibrahim berkata, perkara ini merupakan persoalan pihak yang tidak menghormati undang-undang negara ini.
“Sesiapa sahaja tak kira apa kaum, bangsa, atau agama, yang tidak menghormati undang-undang, kita akan lawan. Negara ini berbilang bangsa. Ia tidak terpakai kepada satu bangsa sahaja. Undang-undang ini terpakai kepada semua.
“Ini soal undang-undang sebenarnya. Kalau tak hormat undang-undang macam mana nak hormat benda lain. Dan kami Pemuda UMNO Raub dan Pemuda UMNO Malaysia konsisten. Selagi mana perkara pencerobohan ini diteruskan, kami akan tentang habis-habisan sehingga semua ini selesai,” katanya ketika ditemui pada perhimpunan di Sungai Chalit hari ini.
Sebelum ini tular video memaparkan Ahli Parlimen Raub, YB. Chow Yu Hui menghalang dan memprovokasi penguatkuasa yang menjalankan tugas memusnahkan kebun haram Musang King di Sungai Ruan dalam operasi bermula 8 April lepas. -PAHANGMEDIA

