Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 12 APRIL 2025 : Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) menafikan wujudnya kes kehilangan bayi kembar di Hospital Kuala Lipis seperti yang tular di media sosial.
Menurut satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh JKNP, siasatan awal pihaknya mendapati tiada bayi kembar telah menerima rawatan selama 9 bulan di wad kanak-kanak Hospital Kuala Lipis seperti yang didakwa.
“Pada 11 April 2025, satu hantaran di media sosial Facebook telah tular berkenaan bayi kembar yang didakwa telah dirawat selama 9 bulan di Hospital Kuala Lipis dan dilaporkan hilang pada hari ini dan dilarikan oleh ‘Doktor Palsu’ bernama Dr. Amalina Husna.
“Siasatan awal telah dilaksanakan dan mendapati tiada bayi kembar seperti yang didakwa telah menerima rawatan selama 9 bulan di wad kanak-kanak Hospital Kuala Lipis.
“Kali terakhir ibu berkenaan menerima rawatan di Hospital Lipis adalah pada Julai 2024. Manakala bagi dakwaan wujudnya ‘Doktor Palsu’ yang bernama Dr. Amalina Husna yang merawat ‘bayi’ selama 9 bulan di Hospital Kuala Lipis pula, didapati tiada rekod bagi kewujudan doktor tersebut pernah bertugas di Hospital Kuala Lipis,” katanya.
Menurut kenyataan tersebut juga, pihak pengurusan tertinggi Hospital Kuala Lipis telah membuat laporan polis berkenaan isu ini memandangkan ia boleh menjejaskan kredibiliti dan integriti hospital.
“Laporan polis telah dibuat oleh Pengurusan Tertinggi Hospital Kuala Lipis bagi mengelakkan sebarang berita yang tidak berasas disebarkan sewenang-wenangnya.
“Ini boleh menjejaskan kredibiliti dan integriti pengurusan dan perawatan di Hospital Kuala Lipis dan JKNP khususnya,” katanya.
Pihak JKNP juga turut mengingatkan orang ramai untuk berhati-hati dalam menyebarkan sebarang maklumat yang tidak pasti kebenarannya. -PAHANGMEDIA

