Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 27 MAC 2025 : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang telah berjaya merampas hampir RM650,000 hasil rampasan bagi jenayah maritim dalam Operasi Khas Pagar Laut bagi tempoh lima tahun.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, nilai tersebut melibatkan 18 kes yang berlaku dalam tempoh 2020 sehingga 2024.
“Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang sedang melaksanakan operasi Op Khas Pagar Laut Bil 1/2025 bagi membanteras jenayah rentas sempadan dan pencerobohan terutamanya di perairan Pahang menjelang sambutan Aidilfitri tahun ini.
“Operasi ini telah diaktifkan bermula pada 10 Mac hingga 18 April 2025 melibatkan empat fasa utama iaitu pengumpulan maklumat dan kesiapsiagaan aset, penguatkuasaan sebelum dan selepas perayaan serta pemantauan berterusan melalui Post Exercise Debrief (PXD).

“Sepanjang lima tahun pelaksanaan operasi ini pada tahun 2020 hingga 2024, Maritim Negeri Pahang berjaya menumpaskan 18 kes termasuk jenayah maritim dengan nilai rampasan hampir RM650,000,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media ketika meninjau Operasi Op Khas Pagar Laut Sempena Musim Perayaan Aidilfitri di perairan Pahang.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Logistik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim; Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Haji Mazlan Mat Rejab; Ketua Jabatan dan Agensi Kerajaan Negeri Pahang.
Beliau berkata, operasi ini adalah bukti komitmen dan kesiapsiagaan anggota Maritim Malaysia dalam menjaga keselamatan perairan negara daripada sebarang ancaman dan aktiviti haram.
“Dengan sepuluh aset iaitu lima buah bot dan lima buah kapal serta kekuatan lebih 260 anggota telah digerakkan sepanjang operasi ini.

“Pada masa yang sama Maritim Negeri Pahang juga bersiap siaga untuk Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) bagi memastikan kesejahteraan rakyat di seluruh perairan Pahang.
“Operasi ini adalah bukti komitmen dan kesiapsiagaan anggota Maritim Malaysia dalam menjaga keselamatan perairan negara daripada sebarang ancaman dan aktiviti haram seperti penyeludupan, pencerobohan nelayan asing dan kegiatan jenayah maritim lain yang boleh mengancam keselamatan dan ekonomi negara,” katanya.
Tambah beliau, walaupun berdepan dengan risiko yang tinggi, Maritim Negeri Pahang tetap teguh menjalankan tugas demi kepentingan negara dan rakyat dan keberanian serta pengorbanan ini patut dihargai oleh semua pihak.
“Maritim Negeri Pahang akan terus mempergiatkan lagi tugas pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan di laut terutamanya di musim perayaan bagi memastikan sebarang kesalahan dan perlanggaran undang-undang dapat dibanteras agar perairan Pahang sentiasa selamat, aman dan terkawal.
“Saya turut menyeru masyarakat bagi membantu Maritim Malaysia dengan melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan atau kejadian kecemasan di perairan negara di talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang 09-5717345 untuk tindakan segera.

“Saya bagi pihak Kerajaan Negeri Pahang sangat menghargai dan mengucapkan setinggi tahniah dan terima kasih atas usaha, kerja kuat Maritim Malaysia khususnya Maritim Negeri Pahang kerana sanggup bertugas tanpa mengira masa dan waktu, dan pengorbanan mereka seharusnya kita hargai dan dalam masa yang sama kita doakan mereka selamat menjalankan tugas,” katanya.
Sementara itu, menurut Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan, operasi berkala sempena perayaan yang dijalankan di bermula kawasan Pulau Aur sehingga Kemaman ini memfokuskan kepada pergerakan masuk dan keluar pendatang asing melalui perairan.
“Target sebenar Op Pagar Laut untuk menghalang aktiviti PATI (Pendatang Asing Tanpa Izin) keluar untuk beraya di kampung halaman mereka, tapi dalam konteos di Negeri Pahang ini, kes begitu tidak banyak kerana yang banyak di Pantai Barat, di sebelah Johor.
“Jadi di Pahang operasi ini untuk mengekang pencerobohan nelayan asing daripada luar, daripada Vietnam terutamanya dan akan berterusan.
“Bagi 18 kes tangkapan, ia lebih kepada hasil laut dan nilai RM650,000 itu adalah hasil lelongan aktiviti nelayan yang kita lelong semula ikan, dan peralatan-peralatan menangkap ikan seperti pukat,” katanya.
YAB. Menteri Besar Pahang meluangkan masa berbuka puasa, solat Maghrib berjemaah dan beramah mesra bersama pegawai dan anak kapal KD Pekan ketika tinjau berkenaan. -PAHANGMEDIA

