Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 23 MAC 2025 : Kira-kira 300 individu daripada golongan rentan di sekitar Jalan Wong Ah Jang menerima makanan berbuka puasa sepanjang bulan Ramadan serta bantuan Hari Raya Aidilfitri daripada Kerajaan Negeri Pahang.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato Hajah Sabariah Saidan, Kerajaan Negeri Pahang sentiasa mengambil berat dan prihatin dengan kebajikan rakyat di negeri ini tanpa mengira latar belakang.

“Kita melalui Yayasan Pahang telah menyediakan juadah berbuka puasa sepanjang Ramadan yang diuruskan oleh Dapur Infak, dan hari ini kita menyantuni golongan rentan di Pusat Prihatin ini.
“Dulu kawasan ini dikenali dengan lorong gelap namun dengan pendekatan daripada Kerajaan Negeri dan dibantu oleh NGO-NGO, alhamdulillah ia dah banyak cerah daripada dulu.

“Apa yang saya nampak Kerajaan Negeri tidak membiarkan mana-mana golongan, semua golongan diambil berat dan diberi perhatian oleh Kerajaan Negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Moreh Bersama Golongan Rentan di Jalan Wong Ah Jang.
Seramai 150 ketua keluarga di bawah Pusat Prihatin turut menerima kuih raya dan duit raya daripada Kerajaan Negeri Pahang.-PAHANGMEDIA

