Oleh: Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 23 MAC 2025: Tular di media sosial satu video memaparkan seorang peniaga nangka memarahi anggota penguatkuasa yang menjalankan operasi di Jalan Persekutuan FT0008 (Bentong-Gua Musang), di Raub hari ini.
Pegawai Daerah Raub, Dato’ Khuzaidi Haron berkata, insiden itu berlaku ketika operasi penguatkuasaan dijalankan oleh Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Raub bersama Majlis Daerah Raub (MDR),
Operasi terbabit katanya telah bermula sejak tahun lalu di mana ia dijalan secara bersepadu dan turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) di lokasi terlibat.
Katanya, tindakan penguatkuasaan terpaksa diambil kerana peniaga berkenaan menjalankan perniagaan di atas rizab jalan persekutuan yang jelas membahayakan keselamatan diri sendiri, pembeli dan pengguna jalan raya.
“Had laju di jalan ini adalah 90 kilometer sejam kecuali di kawasan kampung dan sekolah. Lokasi perniagaan peniaga nangka terletak di rizab jalan persekutuan.
“Ini membahayakan kerana kenderaan dipandu laju di jalanraya tersebut walaupun mungkin bukan sepanjang masa. Jadi risiko kemalangan adalah tinggi kpd peniaga dan pembeli yang berhenti,” katanya ketika dihubungi Pahang Media, hari ini.
Tambahnya lagi, beliau turut memaklumkan bahawa sebelum ini difahamkan pernah berlaku kemalangan maut membabitkan peniaga di laluan tersebut.
“Masyarakat setempat juga telah banyak kali mengadu peniaga-peniaga seperti ini menghalang pandangan pemandu terutama di simpang-simpang keluar masuk ke kampung,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Dato’ Khuzaidi berkata, tindakan penguatkuasaan ini dilaksanakan secara bersepadu kerana melibatkan bidang kuasa berbeza.
“Ia bermula kerana rizab jalan persekutuan adalah di bawah bidang kuasa JKR dan JKR telah menghantar permohonan kpd PDT untuk membantu penguatkuasaan.
“Ini kerana JKR tiada anggota untuk melaksanakan penguatkuasaan terbabit,” katanya lagi.
Menurutnya lagi, MDR juga telah mengeluarkan banyak kompaun sebelum ini ke atas peniaga yang berniaga tanpa lesen dan di kawasan yang tidak dibenarkan.
Menurut Dato’ Khuzaidi lagi, operasi penguatkuasaan dikenali sebagai Ops Nangka terhadap peniaga-peniaga nangka di kawasan berkenaan telah dilaksanakan secara berperingkat sejak tahun lalu.
Pada 24 Mac tahun lalu, surat permohonan daripada JKR Raub bagi melaksanakan penguatkuasaan terhadap gerai-gerai peniaga nangka yang beroperasi tanpa kelulusan di atas rizab jalan persekutuan FT0008, Jalan Bentong – Gua Musang, di Raub.
Ops Nangka pertama dilaksanakan pada 6 Jun tahun lalu melibatkan MDR, JKR, PDT Raub, UPNP dan PDRM di mana hasil operasi menyaksikan sembilan gerai disita oleh pihak MDR.
Ops Nangka kedua diteruskan pada 8 Ogos tahun lalu dengan penyertaan MDR, PDT Raub, JKR, SWCorp dan PDRM di mana tujuh gerai disita oleh pihak MDR.
Pelaksanaan Ops Nangka ketiga diadakan pada 13 Januari lalu di mana PDT Raub diarahkan melakukan rondaan berkala pada hujung minggu bagi menampal Notis Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) terhadap pendudukan secara tidak sah bermula 25 Januari hingga 31 Mac ini.
Dato’ Khuzaidi juga berkata, hasil rondaan mendapati terdapat tiga peniaga utama yang menguasai gerai-gerai nangka tersebut.
“Sepanjang rondaan, pihak PDT Raub hanya memberi amaran dan nasihat supaya peniaga tidak lagi menjalankan perniagaan di atas rizab jalan atas faktor keselamatan.
“Sebanyak 19 Notis Seksyen 425 KTN telah ditampal sepanjang rondaan dijalankan,” jelasnya.-PAHANGMEDIA

