Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
PUTRAJAYA, 20 MAC 2025 : Semua 191 menara telekomunikasi yang dirancang dibangunkan di bawah Jalinan Digital Negara (JENDELA) di seluruh Pahang akan beroperasi sepenuhnya pada 1 April depan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal, berkata bagi JENDELA 2.0 pula akn dilaksana dalam masa terdekat namun masih dalam perincian pihak Kementerian Komunikasi.
“Pertemuan tadi saya melaporkan isu-isu serta masalah yang dihadapi dalam projek JENDELA ini dan dalam masa yang sama membincangkan pelaksanaan JENDELA 2.0 yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
“Ia khusus bagi kawasan-kawasan yang belum lagi mendapat access komunikasi ini. Dan tadi YB Menteri ada maklumkan ada beberapa perkara yang sedang dalam pertimbangan beliau. Mungkin beliaunak tambah baik naikkan kepada 5G dalam projek JENDELA.
“Ia akan mengambil masa sedikit kerana mungkin ada pendekatan baharu pula dalam JENDELA 2.0 yang sedang beliau perincikan dan yang paling penting isu dan kesilapan yang berlaku dalam JENDELA sebelum ini tidak berulang pada JENDELA 2.0 khususnya lokaliti kerana pemilihan tapak menara ini juga cukup penting,” katanya.
Beliau dalam pertemuan tersebut turut menyampaikan hasrat YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail untuk menyeimbangkan pembinaan struktur pemancar 5G di Pahang.
“Saya menyampaikan hasrat YAB. Menteri Besar Pahang agar pembinaan struktur komunikasi 5G di Pahang diseimbangkan antara daerah-daerah di seluruh negeri Pahang.
“Saya telah nyatakan kepada YB Menteri tadi beberapa kawasan yang perlu diberi tumpuan dalam pembinaan struktur pemancar 5G ini khususnya di daerah Raub, Lipis, Jerantut, Bera, Maran, dan Rompin.
“Enam daerah ini kurang sangat pembinaan struktur pemancar 5G ini dalam fasa sebelum ini. Jadi bagi fasa dua pembinaan untuk pemancar 5G ini kita harap enam daerah ini diberi tumpuan agar wujud keseimbangan dari segi inisiatif dan rangkaian 5G di seluruh Negeri Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan bersama Menteri Komunikasi, YB. Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil di Kementerian Komunikasi.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PahangGo, Encik Affendi Mohd Isa; Pengarah Negeri, Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia (MCMC) Pejabat Negeri Pahang, YBhg. Encik Shahrizal Husin; dan Pengarah Unit Komunikasi Strategik (UKS) Negeri Pahang, Encik Khairul Anwar Dato’ Ahmad Nadzer. -PAHANGMEDIA

