Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
BERA, 16 MAC 2025 : Daerah Bera mencipta sejarah apabila menjadi daerah pertama penganjuran program Moh Karnival Makmur 2025 yang digabungkan dengan program Karnival Tanah Pahang 2025.
Daerah Bera sekali gus menjadi perintis kepada penganjuran karnival terbabit di daerah-daerah lain.
Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penganjuran secara bersama antara kedua-dua karnival berkenaan yang sebelum ini dianjurkan secara berasingan lebih menjimatkan masa dan kos.
“Ini adalah satu medan yang membolehkan rakyat mendapat maklumat secara terus daripada agensi-agensi berkaitan.
“Ini supaya rakyat negeri Pahang mendapat maklumat sebenar-benarnya. Tidak mendapatkan maklumat dari pihak ketiga yang belum tentu kesahihannya. Ada tokok tambah dan sebagainya.

“Kalau di sini, maklumat itu tepat dan tidak boleh dipertikaikan kerana agensi itu sendiri memberi maklumat. Dan ini adalah usaha Kerajaan Negeri untuk mendekatkan kepada rakyat. Kita turun padang,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian program berkenaan bertempat di Dewan Semak Bakti FELDA Sebertak, di sini semalam.
Hadir sama, YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam.
Turut hadir, Pengerusi FELDA, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek, Ahli Parlimen Bera, YAB. Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan, YB. Tuan Khaizulnizam Mohamad Zuldin.
YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy juga memaklumkan bersempena Karnival Tanah Pahang 2025 yang dianjurkan sekali, sebanyak kira-kira RM12 juta hasil cukai telah berjaya dikutip.
“(Jumlah kutipan) tidak sepenuhnya berpuas hati dalam erti kata, masih ada yang belum membayar.
“Jadi kita menyerulah kepada mereka kena bayarlah cukai tanah. Ini kita sediakanlah kemudahan jadi datanglah ke sini (karnival),” ujarnya.

Menurutnya, program Moh Karnival Makmur bukan sekadar satu karnival biasa sebaliknya ia merupakan satu usaha Kerajaan Negeri Pahang untuk menyampaikan maklumat, mendengar suara rakyat serta memperkukuhkan hubungan antara kerajaan dan masyarakat.
Tambahnya lagi, penganjuran karnival dalam bulan Ramadan menjadikan edisi kali ini lebih bermakna kerana ia memberikan peluang untuk menghayati semangat kebersamaan, kasih sayang dan keprihatinan dalam kalangan masyarakat.
Dalam pada itu pelbagai aktiviti menarik telah disusun sepanjang dua hari karnival berkenaan berlangsung termasuk pameran Moh Karnival Makmur & Karnival Tanah Pahang 2025 yang memberi informasi penting berkaitan inisiatif kerajaan negeri, program memasak bubur lambuk dan bakar lemang bersama penduduk yang mencerminkan budaya gotong-royong dan perpaduan selain program Bicara Tanah bagi membincangkan isu-isu penting berkaitan pembahagian pusaka.
Selain itu turut diadakan program EXCO Talk bersama YB. Dato’ Amizar Abu Adam bagi membincangkan pembangunan FELDA, koperasi, dan keusahawanan selain Program Ziarah Kasih di beberapa kawasan seperti FELDA Rentam, FELDA Tementi, dan FELDA Sebertak.
Menurutnya lagi, karnival terbabit bukan sahaja mengeratkan hubungan dalam masyarakat, malah membawa mesej perpaduan dan kebersamaan yang amat penting dalam pembangunan negeri. -PAHANGMEDIA

