Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
BERA, 15 MAC 2025 : Pesakit kronik di daerah ini bersyukur menerima bantuan daripada Kerajaan Negeri menerusi program Ziarah Kasih sempena Moh Karnival Makmur peringkat daerah Bera yang berlangsung di Felda Rentam, hari ini.
Salah seorang penerima, Yuslina Mohd Yasin, 47, berkata bantuan yang diberikan sedikit sebanyak meringankan beban keluarganya, terutama dalam menghadapi sambutan Aidilfitri yang bakal tiba.
Menurutnya, sejak disahkan menghidap strok pada Oktober tahun lalu, dia kehilangan sumber pendapatan setelah tidak lagi dapat bekerja sebagai guru kontrak KAFA.
Katanya, keluarganya kini hanya bergantung kepada pendapatan suaminya, seorang tukang mesin rumput, yang berpendapatan sekitar RM500 sebulan.

“Saya disahkan mengalami strok sebelah kiri menyebabkan anggota badan dari bahu hingga pinggang serta tangan dan kaki sebelah kanan tidak dapat bergerak.
“Saya tidak mampu bangun tanpa bantuan anak-anak dan perlu bergantung kepada lampin pakai buang.
“Alhamdulillah, bantuan ini sangat bermakna bagi kami sekeluarga. Sekurang-kurangnya, saya boleh membuat sedikit persiapan raya. Tahun ini, kami memang tiada baju raya dan hanya beraya ala kadar,” kata ibu tujuh anak terbabit.
Turut menerima bantuan, Abdullah Abd Azizi, 36, yang menghidap penyakit buah pinggang sejak Ogos tahun lalu.
Abdullah sebelum ini bekerja mengambil upah membantu rakan berniaga di pasar malam, namun masalah kesihatan memaksanya untuk tidak lagi dapat bekerja.

“Saya dimasukkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh sejak 1 Mac lalu untuk mendapatkan rawatan dialisis di Hospital Temerloh akibat jangkitan kuman,” katanya yang merupakan anak keempat daripada lima beradik.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Sabariah Saidan berkata, program yang julung kali diadakan dalam siri Moh Karnival Makmur terbabit melibatkan Felda Tementi, Sebertak, dan Rentam.
Katanya, inisiatif Ziarah Kasih terbabit memastikan kebajikan pesakit kronik terus terjaga serta menyalurkan bantuan yang sewajarnya.
“Selepas ini (Bera), kita akan ke Bentong pula, InsyaAllah,” katanya. -PAHANGMEDIA

