Oleh : Ain Nadhirah Basha
ROMPIN, 11 MAC 2025 : “Rumah ini kejutan raya kepada anak-anak saya,” kata Encik Syed Fikri Razi yang merupakan salah seorang penerima Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) di Leban Chondong.
Encik Syed Fikri Razi Syed Abdul Razak, 43, yang memiliki empat anak berkata, kesemua anaknya tidak mengetahui berkenaan penerimaan kunci rumah Ru’RASA hari ini.
“Alhamdulillah rasa seronok, gembira dapat rumah sendiri. Anak-anak tak tahu hari ni dapat kunci rumah. Kira macam kejutanlah untuk anak-anak nanti. Kejutan nak raya.
“Terima kasih Tuanku Sultan Pahang, dan Kerajaan Negeri Pahang bagi rumah ni kepada saya sekeluarga. Sebelum ni duduk dengan abah di rumah abah di Kampung Ayau, ada dua keluarga duduk sekali,” katanya yang tinggal di Kampung Ayau.
Sementara itu, menurut Puan Norhazierah Hassan, 34, dan Encik Zaimi Mazlan, 40, dari Kampung Pantau Bernas turut melahirkan keterujaan menerima kunci rumah Ru’RASA ini.
“Gembira, bersyukur dapat rezeki, dah tunggu lama nak ada rumah sendiri. Tak sabar nak masuk rumah sebab tak sangka dapat kunci dalam masa terdekat ni.

“Sebelum ini kami tinggal di rumah pusaka, ni kira rumah rayalah. Terima kasih banyak-banyak Tuanku Sultan Pahang, Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir Razali memilih kami sebagai penerima rumah ini,” katanya.
Bagi pasangan Norazlina Abdul Aziz, 45, dan Taha Sabaruddin Mamat, 51, rumah Ru’RASA ini memenuhi hasrat mereka untuk memiliki kediaman sendiri sejak sekian lama.
“Alhamdulillah syukur penantian yang kita tunggu sekian lama dimakbulkan hari ini. Terima kasih banyak kepada Sultan Pahang, Menteri Besar, dan juga YB. Dato’ Ir Razali.
“InsyaAllah kami akan guna dan jaga rumah yang diberi kepada kami ini sebaik mungkin. Rumah ini memberi kemudahan kepada saya sekeluarga memandangkan ia dekat dengan kawasan sekolah, jadi anak-anak dekat untuk ke sekolah.
“Tak sabar nak masuk rumah ni. Plan nak masuk dalam seminggu sebelum raya sebab kalau boleh nak raya dekat rumah ni maklumlah dapat rumah baru,” katanya yang sebelum ini tinggal di Kampung Tebu Hitam bersama mertua.
Sebanyak tiga penerima rumah Ru’RASA telah menerima kunci rumah daripada Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kesihatan Dan Kerajaan Tempatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir Razali Kassim bersama Pegawai Daerah Rompin, Encik Muhammad Hatta Kassim di Leban Chondong hari ini. -PAHANGMEDIA

