Oleh : Ain Nadhirah Basha & Safiah Hanani Norhalizan
KUANTAN, 25 FEBRUARI 2025 : Pelan strategik kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) 2025-2029 memberi tumpuan kepada lima faktor melibatkan teknologi, inovasi, pelancongan, tanggungjawab sosial, serta pengurusan sumber.
Menurut YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, penyediaan pelan strategik ini amat penting sebagai langkah dan panduan bagi menetapkan hala tuju organisasi.
“Saya melihat Pelan Strategik Kumpulan PKPP ini merupakan satu pelan yang komprehensif dan realistik yang telah dirangka dengan teliti untuk lima tahun mendatang. Beberapa tumpuan utama dalam pelaksanaan pelan ini adalah, pertama, meningkatkan penggunaan teknologi pertanian pintar bagi memperkukuh daya saing industri perladangan dan pertanian negeri.
“Kedua, memperkasa industri hiliran (downstream) melalui inovasi serta pembangunan produk hasil daripada ladang-ladang milik Kumpulan PKPP; ketiga, pembangunan sektor pelancongan komersial dan agrotourism bagi menambah nilai sektor pertanian serta membuka peluang pelaburan baharu.
“Keempat, melaksanakan tanggungjawab sosial dan pembangunan ekonomi masyarakat luar bandar terutamanya di Kawasan Rancangan Sosial di bawah Kumpulan PKPP; kelima, memastikan kelestarian sektor perladangan dan pertanian dengan menerapkan amalan mesra alam dan pengurusan sumber secara mampan,” katanya.
Beliau berkata pelan ini juga bagi memastikan PKPP terus berkembang maju, berdaya saing dan memberi impak yang lebih besar kepada ekonomi Negeri Pahang.

“Program ni sangat baik, dimana kita ada pelan strategik kita untuk jangka masa lima tahun dan kalau kita dapat ikuti dengan baik Insya-Allah kita akan boleh lipat gandakan lagi, boleh menjanakan hasil dan ianya dapat ditadbir uruskan dengan baik.
“Ini adalah perancangan kita, ikhtiar kita, apa yang kita nak buat dalam masa lima tahun, ada perancangan. Kita akan pantau dari semasa ke semasa dan dia ada kajian semula, kita review balik, daripada rancang ni kita biar je, kita tunggu je, tidak.
“Kita akan monitor apa yang telah kita buat, boleh dicapai atau tidak, kalau tak boleh dicapai, kenapa, kita review balik. Ini perancangan kita pada masa ini mungkin dalam masa 2 tahun nanti mungkin ada berlaku perubahan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut berpuas hati dengan pencapaian Pelan Strategik 2020-2025, yang telah menyumbang kepada peningkatan hasil Kerajaan Negeri Pahang.
“Saya bersyukur dan berbangga Kerajaan Negeri berjaya meraih kutipan hasil melebihi RM 1 billion untuk tempoh tiga tahun berturut-turut sejak tahun 2022 hasil kerjasama semua pihak termasuklah Kumpulan PKPP,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Pelan Strategik Kumpulan PKPP di Hotel Zenith Kuantan, di sini, hari ini.
Majlis tersebut turut menyaksikan sesi perjanjian bagi pengurusan PKPP Strawberry Village (PSV) di antara PKPP dan PKPP Agro Sdn.Bhd., serta perjanjian usahasama pembanggunan hartanah di Bukit Goh melibatkan PKPP dan LKPP Property Sdn.Bhd. -PAHANGMEDIA

