PEKAN, 19 FEBRUARI 2025: Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan menetapkan kadar zakat fitrah di Pahang sebanyak RM7, RM14 dan RM21 seorang bagi Ramadan tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), Dato’ Ahmad Hairi Haji Hussain berkata, kadar itu juga selaras dengan keputusan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang.
Katanya, setiap rakyat Pahang berkewajipan membayar zakat pada kadar minima RM7 bagi yang menggunakan beras putih tempatan.
“Dan yang menggunakan pulut atau seumpama dan setara adalah sebanyak RM14, dan yang menggunakan beras basmati atau seumpama dan setara adalah sebanyak RM21,” katanya dalam satu kenyataan kepada media.
Tambahnya lagi, semua umat Islam di negeri ini boleh menunaikan zakat fitrah mereka bermula dari awal Ramadan dan selewat-lewatnya sebelum solat sunat Aidilfitri.
“Bagi melancarkan urusan kutipan zakat fitrah, seramai 917 amil telah ditauliahkan justeru umat Islam di Pahang dinasihatkan membayar zakat fitrah mereka melalui amil yang telah ditauliahkan.
“Majlis juga menyediaakan kemudahan pembayaran pembayaran secara dalam talian melalui pautan ezakat.muip.gov.my dan kod QR Bank Muamalat juga turut disediakan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau berkata, sepanjang bulan Ramadan, MUIP akan mengagihkan bantuan berjumlah RM21,690,300 melibatkan 35,400 penerima terdiri dari golongan asnaf fakir dan miskin, masjid, Maahad Tahfiz, madrasah dan pondok, ahli persatuan guru al-Quran, serta bantuan tahunan Hari Raya Aidilfitri. -PAHANGMEDIA

