Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
MARAN, 14 FEBRUARI 2025 : Seramai 58 penerima rumah Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang dan 57 unit Rumah Makmur Bandar Jengka, di sini, menerima kunci rumah masing-masing, hari ini.
Rumah PR1MA Pahang membabitkan nilai RM8.7 juta manakala Rumah Makmur yanng membabitkan nilai sebanyak RM4.56 juta.
Selain itu, sebanyak 470 unit Rumah Rakyat Pahang (RRP) bagi Fasa 5 turut dilancarkan termasuk 120 unit untuk masyarakat Orang Asli yang bernilai RM36 juta.

YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, rumah pembinaan rumah PR1MA Pahang yang bernilai RM150,000 sebuah dan Rumah Makmur yang bernilai RM80,000 sebuah merupakan usaha Kerajaan Negeri untuk memenuhi keperluan rakyat memiliki rumah sendiri.
“Rumah PRIMA harganya RM150,000 di mana diskaun 10 peratus diberikan untuk pejawat awam. Selepas itu, kita dapati masih ada lagi yang mereka kurang berkemampuan memiliki rumah PR1MA dan kita beri pula mereka Rumah Makmur dengan harga RM80,000 untuk yang berpendapatan isi rumah di bawah RM50,000 setahun.
“Setelah kita membuat kedua-dua rumah PR1MA dan Rumah Makmur, kita dapati masih lagi rakyat negeri ini yang tidak mampu untuk membeli rumah. Akhirnya Kerajaan Negeri, setelah mempunyai kedudukan kewangan yang agak baik, melancarkan RRP,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Rumah PR1MA Pahang, Rumah Makmur Bandar Jengka dan Pelancaran Rumah Rakyat Pahang Fasa 5, di Perumahan PR1MA Pahang dan rumah Makmur Bandar Jengka, di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim; Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib; dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam.

YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy juga berkata, bagi RRP, sebanyak lapan buah dibina di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan nilai RM80,000 sebuah untuk golongan miskin dan miskin tegar.
“Untuk penerima RRP, kita bagi juga bantuan sebanyak RM2,000 untuk membeli peralatan seperti dapur, peti ais, dan sebagainya.
“Dan ini adalah usaha-usaha berterusan Kerajaan Negeri untuk membantu rakyat negeri Pahang dan setakat ini Alhamdulillah, sambutannya sangat baik serta permintaannya sangat tinggi, sehingga Kerajaan Negeri terpaksa menilai satu persatu.
“Cuma saya berharap siapa yang mampu beli rumah PR1MA, belialah rumah PR1MA. Yang tidak mampu, beli Rumah Makmur dan selebihnya, Kerajaan Negeri akan melihat sekiranya mereka ini perlu rumah, wakil rakyat akan mengesyorkan di kawasan masing-masing,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

