KUANTAN, 14 FEBRUARI 2025 : Tiada keperluan bagi kerajaan untuk mewujudkan jawatan menteri atau kementerian khusus berkaitan masyarakat bukan Islam.
Naib Presiden UMNO, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, UMNO menghormati prinsip Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak dan kebajikan semua rakyat Malaysia, termasuk masyarakat bukan Islam, dalam mengamalkan agama dan budaya mereka tanpa halangan.
“Prinsip ini telah lama menjadi asas keharmonian dan kesejahteraan negara. Selain itu, tradisi kabinet Malaysia yang dianggotai oleh ahli daripada pelbagai kaum sudah menjamin segala masalah rakyat disuarakan oleh wakil masing-masing.
“Justeru, UMNO berpandangan kenyataan yang dibuat Ahli Parlimen Raub di Dewan Rakyat berkaitan isu ini seharusnya ditolak sepenuhnya kerana hanya mampu mencetuskan polemik dan mendatangkan kemarahan masyarakat Melayu Islam terhadap kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, UMNO menegaskan bahawa setiap kenyataan dan pandangan yang melibatkan perubahan kepada dasar dan polisi sedia ada perlu mengambil kira peruntukan dalam perlembagaan dan berupaya menjamin kestabilan dan keharmonian yang telah dipupuk oleh pengasas negara ini sejak sekian lama. – PAHANGMEDIA

