Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 14 FEBRUARI 2025 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan mengurniakan hadiah kepada johan qari dan qariah pertandingan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri (MTQN) Pahang Darul Makmur kali ke-68, semalam.
MTQN kali ini menyaksikan Encik Ahmad Yaseer Mohamed Najid dinobatkan sebagai johan kategori qari dengan markah sebanyak 95.5 peratus manakala bagi kategori qariah, Cik Siti Fatimah Mohd Noor dinobatkan sebagai johan dengan markah sebanyak 95.75 peratus.
Paduka Baginda menzahirkan ucapan tahniah kepada pemenang sekali gus turut berharap agar kejayaan terbabit dapat diteruskan diperingkat kebangsaan nanti.

“Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin semangat untuk terus cemerlang dalam Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
“Semoga kejayaan yang lebih gemilang dapat diraih sekali gus mengharumkan nama Negeri Pahang di persada kebangsaan,” titah Paduka Baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan bercemar duli menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur kali ke-68 bertempat di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini semalam.
Keberangkatan Paduka Baginda diiringi YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan YAM Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Hadir sama, YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam.
Paduka Baginda dalam masa sama turut bertitah, peruntukan sebanyak RM2,000 kepada setiap pusat tahfiz di negeri ini merupakan bukti bahawa Kerajaan Negeri tidak pernah mengabaikan institusi berkenaan.
“Melalui Belanjawan Negeri yang telah dibentangkan oleh YAB. Menteri Pahang, saya dapati sejumlah besar peruntukan telah disalurkan kepada pembangunan syiar Islam.
“Mudah-mudahan dengan sumbangan ini, pusat Tahfiz dapat terus berkembang dalam menyebarkan ilmu Al-Quran,” titah Paduka Baginda lagi. -PAHANGMEDIA

